Pages

MAJLIS MAKAN MALAM PELAJAR SEMESTER 7

Saturday, October 24, 2009

Sungai Klah Hot Spring, 24 okt 2009 - Pelajar pendidikan sejarah semester 7 pendidikan sejarah UPSI telah diraikan pada majlis makan malam yang diadakan di Singai Klah Hot Spring Resort. majlis bermula kira-kira jam 8.00 malam turut dihadiri oleh Penyelaras jabatan sejarah FSSK, UPSI, En. Ahmad Zainiddun Husin, Penasihat PERMAS, En. Mohd Kamal Kamaruddin, Cik Siti Zaharah Mahfood, Cik rabaah, dan Pn. Wan Noorlizawati bt. Wan Mat Ali.


Dalam majlis tersebut tersebut En. Ahmad Zainudin memberi sentuhan semangat dan nasihat kepada pelajar semester 7 yang akan menjalani praktikal pada semester depan. Dalam majlis itu juga beberapa anugerah telah disampaikan kepada pelajar semester 7. Antaranya ialah anugerah akademik yang berjaya disandang oleh Abu Hanifah B. Haris.


Majlis makan malam yang diadakan untuk pelajar semseter 7 pada kali ini berbeza sedikit daripada majlis-majlis yang pernah diadakan pada semester-semester yang lepas. sebelum bermulanya majlis pada malam tersebut, pelajar semseter 7 yang diraikan perlu melakukan aktivit mencari harta karun.

Pada akhir majlis, pelajar semester 7 bersalam-salaman dengan semua pensyarah yang hadir dan mengambil gambar kenangan-kenangan bersama pensyarah. selain itu, mereka turut diraikan oleh ajk pelaksana program makan malam tersebut dengan nyanyian yang dinyanyikan oleh AJK pelaksana.



Bergambar kenangan bersama pensyarah
Barisan AJK pelaksana majlis
Pelajar semester 7 bersalaman dengan pensyarah pada akhir majlis




















MAJLIS ANUGERAH KECEMERLANGAN PELAJAR

Friday, October 23, 2009

Sukacita dimaklumkan bahawa, Persatuan Mahasiswa Sejarah (PERMAS) dan Persatuan Pengajian Malaysia (PPMas) di bawah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, akan mengadakan Majlis Anugerah Dekan seperti pada maklumat di bawah :

Tempat : Auditorium Utama (UPSI)
Tarikh : 29 Oktober 2009 (Khamis)
Masa : 8.00 malam hingga 11.00 malam

PELAJAR PENDIDIKAN SEJARAH DAN PELAJAR PENGAJIAN MALAYSIA YANG MENDAPAT PNGS 3.5 DAN KEATAS UNTUK TAHUN PENGAJIAN SEMESTER 1 & 2 2008/09 PERLU MENANDATANGAI KEHADIRAN MASING2 DI PEJABAT PENTABIRAN FSSK.

SELAMAT HARI RAYA

Friday, September 18, 2009

Persatuan Mahasiswa Sejarah UPSI (PERMAS) mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada semua pensyarah-pensyarah Jabatan Sejarah,FSSK UPSI; juga kepada semua mahasiswa/i sejarah UPSI yang akan meyambut Hari Raya aidilfitri pada hari ahad bersamaan dengan 20 september 2009.

ucapan daripada Ahli Majlis Tertinggi PERMAS 2009/10

Friday, September 11, 2009

MANUSIA DALAM SEJARAH
Sejarah adalah satu ilmu yang sangat penting dalam kehidupan manusia yang bertemadun. Mempelajari ataupun mengetahui ilmu sejarah manusia juga sama pentingnya mempelajari ilmu agama yang lain. Hal ini kerana, sejarah akan mengajar kita akan semua kesilapan ataupun memberi pengajaran akan sesuatu yang telah berlaku. Ia akan mengajar kita untuk merancang dan melihat kehadapan dengan berpandukan semua peristiwa yang berlaku pada masa lalu. Namun sejauh manakah seseorang manusia itu belajar daripada sejarah manusia yang berkurun lamanya untuk membetulkan kehidupan masa depan.

Dalam bidang sejarah terdapat 3 kelompok manusia yang akan diwujudkan. Perbincangan ini akan melihat secara kepada 3 kelompok manusia tersebut. kelompok pertama ialah; kelompok manusia yang terlalu mengagung-agungkan pencapaian tamadun manusia yang sebelumnya. Kelompok ini akan sentiasa mengingati sejarah keagungan tamadun negara ataupun bangsa mereka. Disamping itu, mereka sering menyangkal sebarang pendapat negetif mengenai tamadun yang mereka miliki. Jenis kelompok manusia ini tidak akan berani untuk mengatakan sesuatu yang negetif tentang tamadun yang lalu. Samaada sesuatu yang berlaku itu adalah satu kesalahan ataupun kesilapan pada masa lalu, golongan ini akan sentiasa mempertahankan tamadun yang dilihat oleh mereka sebagai tamadun yang agung.

Kelompok yang kedua pula ialah; kelompok manusia yang hanya mempelajari sejarah. Golongan ini tidak bertindak mempertahankan ataupun mengkritik peristiwa sejarah yang berlaku pada masa lalu. Mereka hanya mempelajari sejarah untuk pengetahuan ataupun sebagai ilmu sampingan sahaja. Golongan seperti yang terdapat dalam golongan yang kedua ini amat meberhaya sekiranya diserapkan dalam sistem pendidikan. Mereka adalah golongan yang tidak mendalam erti sebenar ilmu sejarah. Golongan ini juga tidak berusaha untuk memperbaiki atau mempelajari sebarang kesilapan ataupun pengajaran yang telah dilakukan oleh peristiwa sejarah.

Sekiranya diserapkan dalam sisitem pendidikan golongan ini boleh dikatakan sebagai perasit dalam ilmu sejarah. Tujuan mereka untuk mempelajari sejarah adalah mencukupkan syarat bagi menghabiskan pengajian mereka di universiti dan untuk mendapat pekerjaan.
Golongan yang ketiga pula ialah: golongan yang sentiasa ingin menyaingi temadun-tamadun yang pernah wujud di dunia ini. Golongan ini sentiasa mencari idea-idea baru dan menghasilkan cipta-ciptaan baru yang difikirkan lebih maju daripada tamadun manusia yang lalu. Kadang kala mereka merupakan pelopor kepada teknologi dan ilmu baru yang wujud. Golongan ini juga sentiasa memandangan kehadapan tetapi masih mempelajari sejarah untuk mengetahui akan keagungan tamadun yang pernah wujud sejak kewujudan manusia.
Golongan pertama dan golongan yang kedua adalah golongan yang tidak memberi manfaat kepada apa-apa ataupun sesiapa di dunia ini. Mereka adalah golongan yang paling dan sangat tidak diperlukan dalam semua bidang ilmu. Mereka tidak berusaha untuk memperbaiki kehidupan, masyarakat, negara, dan dunia amnya. Golongan seperti ini akan meruntuhkan sesuatu tamadun yang telah dibina ataupun yang masih dalam pembinaan.
Golongan yang ketiga pula, merupakan golongan yang akan memajukan sesebuah tamadun dan akan meneruskan kelangsungan sesebuah tamadun. Namun malangnya golongan seperti golongan yang ketiga ini amat sedikit jumlahnya. Mereka digelar sebagai Cerative Minority kerana mereka merupakan golongan yang sangat kreatif dalam mengurus negara dan masyarakat tetapi dalam jumlah yang sangat minima.
Dimanakah letaknya diri kita sebagai mahasiswa/i sejarah UPSI. Sama-samalah kita fikirkan…..

09 SEPT 2009 – Persatuan Mahasiswa Sejarah Upsi (PERMAS) telah mengadakan satu majlis berbuka puasa di cafe bangunan bitarasiswa. Majlis bermula pada pukul 6.00 petang dan berlangsung selama 2 jam. Majlis turut dihadiri oleh timbalan Dekan Akademik Fakulti Sains Sosial dan Kemasyarakatan (FSSK). Selain itu Ketua Penyelaras Jabatan Sejarah FSSK, En Ahmad Zainuddin Husin turut hadir, disamping penasihat PERMAS iaitu En. Mohd Kamal B. Kamaruddin. Pensyarah-pensyarah Jabatan Sejarah juga turut kelihatan hadir bersama-sama memeriahkan Majlis Berbuka Puasa yang di anjurkan oleh PERMAS dengan kerjasama FSSK dan Jabatan Sejarah UPSI.

Mantan Yang di-Pertua Permas sesi 2008/09, Abu Hanifah bin Haris turut hadir untuk memberi sokongan kepada barisan PERMAS yang baru. Sebelum bermulanya majlis berbuka Puasa para hadirin disajikan dengan ceramah oleh Ustaz Mohd Attiullah bin Othman dari Jabatan Pengajian Islam FSSK. Ceramah beliau mengupas mengenai pembangunan rohani yang perlu ada dalam diri sebagai seorang bakal guru. Disamping itu, beliau turut mengupas erti sebenar berpuasa bagi umat islam yang menjalani ibadah puasa pada bulan ramadhan yang mulia ini.

Dianggarkan seramai 300 orang mahasiswa/i sejarah yang hadir untuk bersama-sama meraikan majlis Berbuka Puasa PERMAS pada hari tersebut yang terdiri daripada pelajar semester 1 hingga semester 7. Keadaan cuaca yang tidak mengizinkan pada petang tersebut tidak menjadi halangan kepada para mahasiswa/i untuk hadir meraikan majlis. Majlis berbuka puasa tersebut telah dirancang seawal bermulanya bulan ramadhan oleh barisan tertingi PERMAS dengan kejasama mahasiswa/i sejarah dari semester 4 sesi julai 2009/10

Kemeriahan majlis tersebut boleh dilihat sebagai satu sokongan padu daripada ahli-ahli PERMAS kepada Barisan Majlis Tertinggi PERMAS yang baru, diterajui oleh Eddy Safbree Bin Salim sebagai Presiden PERMAS sesi 2009/10. Diharapkan ahli-ahli PERMAS akan terus memberi sokongan kepada semua aktiviti yang dianjurkan oleh persatuan pada masa akan datang.

MAJLIS BERBUKA PUASA PERMAS

Wednesday, September 2, 2009

PERSATUAN MAHASISWA SEJARAH UPSI (PERMAS)
_________________________________________
MENGANJURKAN :
MAJLIS BERBUKA PUASA

DENGAN KERJASAMA:
FSSK & JABATAN SEJARAH UPSI

TARIKH : 9 SEPTEMBER 2009 / RABU
MASA : 6.00 PM-9.00 PM
TEMPAT : BANGUNAN BITARA SISWA

 SEMUA MAHASISWA/I SEJARAH UPSI DIJEMPUT HADIR.
 SILA RUJUK WAKIL SEMESTER UNTUK KETERANGAN LANJUT.
 BAGI PELAJAR YANG TINGGAL DI KOLEJ KEDIAMAN, BOLEH MEMBAWA KAD AKTIVITI KOLEJ MASING-MASING UNTUK MENDAPATKAN COP AKTIVITI.

MEMO PERMAS

Monday, August 31, 2009

MEMO
PERSATUAN MAHASISWA SEJARAH (PERMAS)

KEPADA:
SEMUA MAHASISWA/I PENDIDIKAN SEJARAH UPSI
DARIPADA:
MAJLIS TERTINGGI PERMAS


1.PERMAS AKAN MENGADAKAN PENGAMBILAN RAKAN EXCO (R.E) UNTUK SEMUA EXCO YANG ADA DALAM JAWATAN PERMAS.
2.PENGAMBILAN INI TERBUKA KEPADA SEMUA MAHASISWA/I SEJARAH DARI SEMESTER 1 HINGGA SEMESTER 5 SESI JULAI 2009/10
3.ANTARA EXCO YANG DITAWARKAN IALAH:
I. EXCO SUKAN & REKEASI
II. EXCO PENERBITAN & INFORMASI
III. EXCO AKADEMIK DAN LAWATAN
IV. EXCO KEBAJIKAN & SOSIAL
V. EXCO PERHUBUNGAN & ANTARABANGSA
VI. EXCO KEROHANIAN & PERPADUAN
VII. EXCO EKONOMI & KEUSAHAWANAN
4.BORANG PERMOHONAN BOLEH DI DAPATI DI BILIK PERSATUAN, BITARA SISWA.
5.SETIAP PERMOHONAN HENDAKLAH DISERTAKAN DENGAN SEKEPING GAMBAR BERUKURAN PASPORT.

SEKIAN,
YDP PERMAS

(Eddy Safbree Bin Salim )

Ramadhan Datang Lagi!!!

Tuesday, August 25, 2009

Ramadhan datang lagi...Ramadhan bulan yang dipenuhi rahmat Ilahi menuntut seribu satu pengorbanan untuk kita penuhi bersama. Bulan yang dianggap mulia dalam kalendar ibadat umat Islam ini semestinya dinanti dan diharungi dalam dua perspektif berbeda. Ada yang gembira dan ada yang merungut. Itulah hakikat dan realiti yang berlaku bermula dari awal pensyariatannya sehinggalah dizaman ini.

Bagi Muslim yang kukuh imannya, Ramadhan seringkali ditunggu-tunggu laksana sang teruna ternanti-nanti kelibat sang dara idaman kalbu. Setiap detik dan saat dalam tempoh menunggu itu dirasakan terlalu lama untuk ditempuhi. Sedang hadirnya Ramadhan itu disambut dengan seribu macam perasaan yang menggambarkan keseronokan, kesyukuran dan kenikmatan untuk dikecapi sepanjang berlabuhnya bulan barakah ini.

Ruang dan peluang yang dihidangkan oleh Ilahi ini semestinya akan dimanfaat dengan semaksima mungkin lantaran ganjaran hebat sedia terhidang untuk digapai. Betapa indahnya bulan mulia ini sekiranya kita penuhkan ia dengan amal ibadat sebagai simbol ketaatan, kesyukuran dan keabdian kita kepada tuan punya alam. Tempoh ini sewajarnya kita penuhi dengan zikir lambang kita mengangungkan-Nya, Terawih lambang kesyukuran kita akan nikat kurniaan-Nya, tilawah quran lambang kekaguman kita akan kehebatan firman-Nya dan pelbagai lagi bentuk ibadat boleh kita aplikasi.

Namun, harus diiangat! Ramadhan tidak hadir untuk penganutnya melakukan ibadat semata-mata. Namun, hadirnya Ramadhan itu untuk membentuk, mendidik dan menghiasi peribadi dan rohani Muslim untuk diaplikasi sepanjang hayat kehidupan. Maka, secara mudah Ramadhan itu bukanlah bulan untuk kita menambahkan bilangan ibadat semata-mata tetapi Ramadhan itu perlulah kita pandang dan lihat dalam konteks yang lebih spesifik yakni satu bentuk latihan bagi membentuk peribadi dan sahsiah unggul dikalangan Muslim.

Lantaran itu, Ramadhan menuntut kita berpuasa dalam maksud yang lebih menyeluruh. Ramadhan tidak hanya menuntut kita berpuasa menahan lapar dan dahaga semata-mata. Bahkan Ramadhan juga menuntut kita berpuasa daripada melakukan amalan keji dan menjauhi kemungkaran. Ramadhan menuntut kita memperbetulkan sahsiah dan peribadi diri dengan cara menjaga tutur bicara, tingkah laku dan pemikiran kita daripada unsur-unsur keji dan kemaksiatan.

Namun, sebahagian kita kadangkala terlupa ataupun buat-buat lupa akan tuntutan dan penghayatan sebenar yang perlu kita junjung sepanjang berlangsungnya Ramadhan ini. Disebabkan itu diawal perbincangan tadi, penulis mengatakan Ramadhan yang hadir ini akan diraikan dalam dua perspektif berbeda. Perspektif positif telah kita bincangkan bersama. Maka bagaimana pula perspektif negatif untuk kita nilai bersama?.

Bagi Muslim yang luntur dan goyah imannya, Ramadhan ini dinanti dengan perasaan gundah gulana. Seringkali jiwa dan hati kecil memberontak dengan seribu macam alasan, perasaan dan juga fikiran untuk menidakkan tuntutan wajib oleh Ilahi. Sering saja mulut memberikan pelbagai alasan untuk melarikan diri daripada menunaikan tanggungjawab ini. Semalam, sempat penulis menjenguk helaian akhbar Berita Harian. Isinya membicarakan pengakuan bintang filem Bollywood tersohor iaitu Shah Rukh Khan.

Lelaki yang telah dianugerahkan pangkat Datuk oleh kerajaan negeri Melaka ini telah membuat pengakuan tidak berpuasa penuh lantaran tuntutan kerjaya yang melampau. Katanya, setiap tahun beliau cuba memenuhi tanggungjawabnya dengan sekurang-kurangnya berusaha berpuasa selama 4 hari sepanjang berlangsungnya Ramadhan. Maknanya 26 hari lagi dibiarkan sepi tanpa merasa berdosa mahupun bersalah kepada tuan punya alam.

Demikianlah hebatnya alasan seorang manusia yang dianugerahkan oleh tuhannya dengan nikmat harta, pangkat, prestij dan darjatnya disisi manusia. Sedang manusia itu berhadapan dengan dilema memilih antara tuntutan kerjaya ataupun tuntutan tuan punya alam, pilihan hatinya terpaksa mengalah dengan tuntutan dunia sehingga terpaksa dikorbankan tuntutan tuhannya. Inilah yang dinamakan bertuhankan dunia. Amat keras bunyinya, namun itulah realitinya. Sedang kita berhadapan dengan kekangan keuzuran pun, selagi mana kita berdaya untuk melaksanakan syariat ini kita tetap dituntut mengerjakannya. Inikan pula manusia yang sihat batang tubuhnya bertuankan alasan tuntutan dunia untuk menidakkan tuntutan tuhannya.

Beralih kepada realiti kehidupan kita. Tidak dinafikan ramai dikalangan kita menjawab tuntutan tuan punya alam ini dengan sempurna. Puasa di bulan Ramadhan cukup bilangannya, namun sedih untuk kita terima. Ada dikalangan kita, puasanya penuh namun sembahyangnya separuh ataupun kosong. Kononnya mahu mengelak daripada puasa ganti pasca Ramadhan. Alasannya, godaan pasca Ramadhan lebih hebat lagi. Sedang sembahyang yang turut menjadi tunjang agama dipandang sepi.

Bagi kalangan Muslim yang bergelar kaki nombor ekor, kaki botol, kaki pub mahupun pelbagai lagi gelaran yang melambangkan ahli kemaksiatan, puasa siangnya penuh. Namun, aktiviti rutinnya tetap dijalankan. Manakan tidak, siang berpuasa, malam berdansa dan bergoyang di kelab malam, siang berpuasa, malam bertin-tin arak dibasahkan ke tekak, siang berpuasa, malam berpeluk-pelukan dilorong sepi, siang berpuasa, malam berjam-jam diwarung kopi, siang berpuasa, malam menatap akhbar ternanti-nanti keputusan nombor ekor kot-kotnya lucky.

Sesetengahnya, siang berpuasa, aktiviti mengumpat tak pernah sunyi, siang berpuasa, terlentang di katil dari pagi sampailah azan Maghrib berbunyi, siang berpuasa, aurat badan terdedah sana-sini, siang berpuasa, Dam Haji bergerak ke kanan ke kiri, siang berpuasa, motosikal terangkat kononnya Mat Remit sejati...

Inilah gambaran kebobrokan yang mendasari diri dan masyarakat kita. Ramadhan itu diangkat serinya pada gambaran nama dan ilusi bukan dihayati isi maknanya buat pedoman dan panduan untuk kita manfaatkan bersama. Kembalilah kita kelandasan sebenarnya. Seandainya kita tercicir daripada landasan sebenar mengikut panduan dan kehendak Ilahi nescaya kita akan binasa disebalik kedhaifan diri sendiri.

Akhir kalam, selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak buat semua. Hayatilah pengisiannya nescaya kita akan beroleh manfaat berguna dalam melayari kehidupan didunia fana ini. Sesungguhnya Allah amat menyayangi makhluk ciptaan-Nya sedang manusia itu kadangkala alpa untuk menghambakan diri kepada-Nya.....

Salam Ramadhan al-Mubarak....

Dari ruangan manusia kerdil d’ sisi Ilahi...

KABINET BARU DIBENTUK!!!

Thursday, August 13, 2009

Dewan Rahman Talib-Sebentar tadi Mesyuarat Agung Permas selamat melabuh tirainya. Berakhir sudah perkhidmatan penulis sebagai Exco Penerbitan dan Dokumentasi PERMAS 08/09. Setahun kiranya penulis berjuang bersama sahabat dalam barisan Majlis Tertinggi PERMAS 08/09, kini masanya sudah tiba untuk teraju dan tenaga baru mengambil alih tampuk pengurusan persatuan. Sepanjang tempoh tersebut, begitu banyak kenangan untuk dibingkis bersama.

Tidak kiralah baik-buruk, suka-duka, manis-pahit semua itu adalah adat dan resam untuk kita hirup bersama dalam konteks bepersatuan. Diharapkan, pengurusan baru yang telah dibentuk sebentar tadi mampu meneruskan kesinambungan dan legasi sebelumnya. Jadikanlah, panduan pada masa-masa sebelumnya sebagai aturan berharga dalam memastikan asas dan landasan penubuhan persatuan tidak terabai.

Dengan pembentukan kabinet baru ini, penulis percaya PERMAS 09/10 mampu untuk mencipta kejayaan dan kegemilangan di masa mendatang. Jika diteliti, PERMAS sudah dilengkapi dengan beberapa komponen asas untuk bergerak sebagai sebuah persatuan yang efektif.

Lebih-lebih lagi pembentukan kali ini telah menyaksikan gabungan muka lama dan baru bagi memantapkan pengurusan persatuan. Sekalung tahniah buat sahabat, Eddy Safbree Bin Salim atas kepercayaan ahli untuk anda memacu pergerakan persatuan. Dibantu oleh MT sebelumnya, saudara Newman Orjunal selaku Timbalan YDP, Samuel Sila selaku Naib YDP dan saudari Shaiha Sulaiman selaku Setiausaha yang baru, penulis percaya gandingan kalian adalah pilihan bernas buat pemantapan persatuan.

Tidak lupa juga, sekalung tahniah buat saudara Azan, Khairul Azhar, Norizam, Liry, Maizura, Thomiti, Norizan, Mohd Fadhilul, Mohd Faris, Nik Mohd Izani, Henri Jo dan Norliana diatas perlantikan anda semua ke dalam barisan kabinet baru PERMAS. Gunakanlah ruang dan mandat yang telah disediakan untuk anda buktikan PERMAS tidak ketandusan bakat-bakat dalam aspek kepimpinan. Cuma, keserasian dan pemahaman corak kerja perlu untuk diurus dan digilap oleh kepimpinan tertinggi bagi melahirkan satu jentera yang cukup ampuh dalam merencana, merancang dan menggerakkan perancangan persatuan.

Gabungan MT dari setiap semester juga merupakan satu tonik berguna bagi memastikan sokongan dan penglibatan daripada semua ahli dapat digembleng dengan semaksima mungkin. Hal ini kerana, kemantapan dalam aspek pengurusan semata-mata bukanlah jawapan terbaik dalam memastikan keberkesanan dan kejayaan perancangan persatuan. Usaha, sokongan dan penglibatan daripada semua ahli merupakan jawapan terbaik bagi menghasilkan satu gerak kerja yang gemilang buat nikmat bersama.

Satu perkara yang menarik untuk dikongsi, AJK Mesyuarat Agung kali ini telah berjaya melakukan satu transformasi dalam corak dan budaya pemilihan Majlis Tertinggi PERMAS. Sebelumnya, kabinet dipilih secara langsung tanpa berfokus terhadap mana-mana jawatan. Kali ini, perubahan telah dilakukan apabila calon yang dipilih bersaing untuk jawatan tertinggi dahulu kemudiannya barulah difokuskan kepada pembentukan kabinet. Difahamkan, mesyuarat pertama kabinet baru akan dilangsungkan pada Khamis depan dipengerusikan oleh YDP yang baru.

Buat akhirnya, sekalung apresiasi buat tenaga kerja PERMAS 08/09 khususnya Barisan Majlis Tertinggi PERMAS 08/09 atas gerak kerja bersama. Ampun maaf dihulur seandainya selama perkhidmatan penulis, terdapat salah dan silap selama kita bekerjasama. Buat semua ahli, berilah sokongan padu dan tidak berbelah bagi buat barisan kepimpinan baru. Laksanakanlah amanah dan mandat yang tersedia. Bergeraklah dalam satu saf yang utuh dalam membina satu gerakan cemerlang buat pemantapan komuniti Pendidikan Sejarah.

Secara rasminya, dengan mandat yang telah diberi oleh barisan kepimpinan sebelumnya. Saya Ahmad Baihaqi Bin Mohammad Yunus selaku Majlis Tertinggi PERMAS 08/09 menjawat portfolio Biro Penerbitan dan Dokumentasi dengan ini menyerahkan tugas secara rasmi berkait perjalanan Ruangan Rasmi PERMAS kepada YDP yang baru untuk diamanahkan kepada AJK baru.


Yang Di Pertua PERMAS 09/10
Eddy Safbree Bin Salim (Semester 5)

Timbalan Yang Di Pertua PERMAS 09/10
Newman Orjunal (Semester 4)

Naib Yang Di Pertua PERMAS 09/10
Samuel Sila (Semester 4)

Setiausaha PERMAS 09/10
Shaiha Bte Sulaiman

Ahli Majlis Tertinggi PERMAS 09/10

Azan, Khairul Azhar, Norizam (Semester 5)

Liry, Maizura dan Thomiti (Semester 4)

Norizan, Mohd Fadhilul dan Mohd Faris (Semester 3)

Nik Mohd Izani, Henri Jo dan Norliana (Semester 1)


Sekian,

Salam Ukhuwah Berpanjangan Buat Semua......

Pengumuman Penting Exco kebajikan PERMAS

Wednesday, July 29, 2009

Kepada Sesiapa warga PERMAS yang berasal dari Sabah dan Sarawak yang ingin memohon tuntutan tiket balik yang telah dibeli bolehlah berbuat demikian dengan menghubungi Exco Kebajikan MPP UPSI di nombor:

1) Saudara Zulhilmi = 0194605330

2) Saudari Adriyani = 0198049923

atau terus kepada Exco Kebajikan Permas

1) Saudara Samuel Sila = 0137117477

2) Saudari Nuhaa Zafira = 0136295816

* Pengangkutan Percuma iaitu bas ke LCCT dan KLIA untuk pelajar Sabah dan Sarawak yang ingin balik.

* Selain itu Exco Kebajikan PERMAS akan turut membantu pelajar yang memilih untuk tinggal di kolej kediaman ini terutama ahli-ahli PERMAS. Bagi yang tinggal di UKLK kami juga turut akan membantu anda. Sekiranya anda sebarang masalah teruskan menghubungi nombor di atas tadi. Kami akan sedaya-upaya membantu anda semua.

Terima Kasih:

Samuel Sila Mathew Unjah & Nuhaa Zafira
Exco Kebajikan dan Sosial PERMAS

Laman Rasmi PERMAS Berwajah Baru!!!!!

Salam perpaduan buat semua,

Perubahan wajah baru Laman Rasmi PERMAS ini diharapkan mampu untuk meningkatkan prestasi kita semua dalam bepersatuan.....

Diharapkan kita semua tidak lupa akan matlamat penubuhan Laman Rasmi PERMAS ini....

Laman ini bukanlah satu tapak untuk kita menyemai bibit perpecahan, hasutan dan maki hamun buat saudara kita sendiri.....

Namun, laman ini sepatutnya kita jadikan tapak untuk kita menyemai benih-benih perpaduan buat kemandirian ummah terbilang.....

Di pihak kami, perasaan dukacita dan kecewa tidak dapat kami sembunyikan apabila sesetengah pihak yang tidak ada integriti terhadap kepentingan awam telah mengambil kesempatan menggunakan ruangan ini untuk melakukan perkara-perkara yang diluar batasan manusia normal.

Manusia yang waras akalnya, sopan tutur katanya tinggi akhlaknya tidak akan tergamak untuk memaki hamun sesama umat manusia. Lebih-lebih lagi dalam konteks keagamaan hampir majoriti dikalangan warga PERMAS adalah Islam.....

Islamkah kita sekiranya kita mengamalkan budaya memaki hamun, menyebarkan fitnah dan memburuk-burukkan sahsiah saudara kita?....

Islam bukanlah berdiri di atas solat lima waktu semata-mata, namun Islam itu meliputi keseluruhan kualiti kehidupan kita. Islam itu adalah budaya hidup. Rosak budaya maka itulah petanda kerosakan akhlak kita.....

Sesungguhnya Islam itu terbina di atas beberapa perkara meliputi akidah, akhlak dan syariat.....pincang salah satu daripadanya maka pincanglah keimanan kita......

Memang benar Islam menghalalkan kritikan dan teguran buat pemimpin....namun, teguran itu bukanlah dalam bentuk gambaran negatif, tetapi perlulah berasaskan keikhlasan dan memenuhi batas-batas naluri kemanusiaan.....

Tiada siapa yang sempurna kerjanya, sifatnya dan sikapnya lantaran itu wajarlah untuk kita menggunakan pendekatan yang lebih rasional dalam membuat teguran dan kritikan terhadap mana-mana pihak.....

Di pihak kami, teguran daripada anda semua tetap ada pronya....tidak kiralah teguran itu hadir daripada naluri kebencian mahupun keikhlasan anda ianya tetap melambangkan keprihatinan dan semangat anda untuk mengikuti dan melibatkan diri bersama PERMAS......

Buat rakan-rakan Majlis Tertinggi PERMAS, jadikanlah teguran dan pandangan itu sebagai satu tonik berharga dalam kita membina sahsiah diri sebagai bakal pendidik anak bangsa.....

Jadikanlah pengalaman dan kenangan sepanjang tempoh perkhidmatan ini sebagai satu iktibar dan panduan kita bersama dalam berhadapan cabaran di masa mendatang....

Diakhirnya,

Diharapkan perubahan barisan kepimpinan yang akan berlaku dalam masa terdekat ini mampu untuk melakukan transformasi terhadap kredibiliti, imej dan corak kerja PERMAS ke arah kejayaan semua......

Inilah peluang anda wahai warga PERMAS untuk memilih barisan kepimpinan baru yang anda rasakan mampu untuk memikul amanah kita semua......

Daripada Biro Penerbitan dan Dokumentasi, jutaan apresiasi dan salam kemaafan buat semua atas amanah dan kepercayaan khususnya daripada sahabat Majlis Tertinggi PERMAS 08/09 dan seluruh warga PERMAS untuk mengendalikan ruangan ini......

Perubahan wajah baru PERMAS ini diharapkan mampu untuk kita wujudkan suasana dan budaya kerja yang baru.....tinggalkan perkara-perkara negatif yang boleh merosakkan bahtera milik kita bersama ini......

Salam Khidmat Terakhir,

BIRO PENERBITAN DAN DOKUMENTASI
AHMAD BAIHAQI MOHAMMAD YUNUS

PENANGGUHAN MESYUARAT AGONG PERMAS KALI KE-7

Tuesday, July 28, 2009

Untuk makluman semua ahli PERMAS, Mesyuarat Agong PERMAS Kali Ke-7 yang dijadualkan berlangsung pada hari Khamis, 30 Julai 2009 akan ditangguh ke satu tarikh baru yang akan diberitahu kelak. Hal ini disebabkan oleh penularan kes Influenza H1N1 (Selsema Babi) di UPSI manakala pelajar-pelajar yang tinggal di kolej kediaman juga telah dikuarantin bermula hari ini (Rabu, 29 Julai 2009). Segala kesulitan amat dikesali. Harap maklum


Exco Mesyuarat Agong PERMAS Kali Ke-7
Persatuan Mahasiswa Sejarah UPSI.

INFO H1N1 UPSI

PERHATIAN KEPADA SEMUA WARGA UPSI

Berkaitan dengan kes H1N1, pihak UPSI memohon semua pelajar UPSI supaya mengkuarantinkan diri anda bermula 29 Julai 2009 (Rabu) sehingga satu tarikh yang akan diberitahu kelak. Buat masa ini,semua kuliah dibatalkan sehingga dimaklumkan. Pihak UPSI dengan kerjasama Bahagian Kesihatan Batang Padang sedang berusaha untuk mengenalpasti keseriusan kes ini di UPSI. Maklumat lanjut akan dimaklumkan melalui saluran ini secepat mungkin.

Kepada semua kakitangan UPSI, semua aktiviti berjalan seperti biasa.

Sekian harap maklum.

Bahagian Korporat dan Antarabangsa

Universiti Pendidikan Sultan Idris


MESYUARAT AGUNG PERMAS 09

Thursday, July 23, 2009

Perhatian kepada semua warga Permas, Mesyuarat Agong Permas Kali Ke-7 akan diadakan seperti ketetapan berikut:

Tarikh : 30 Julai 2009
Hari : Khamis
Masa : 8.00 Malam
Tempat :Auditorium Utama

Diharapkan semua warga Permas daripada Semester 1, Semester 3, Semester 4, Semester 5, dan Semester 7 dapat hadir dan menjayakan mesyuarat agong pada kali ini.

Pilihlah wakil daripada semester anda...Pilihlah wakil yang benar-benar berwibawa yang akan memperjuangkan hak-hak dan keperluan anda. Jadi, anda hadirlah untuk memilih siapa yang anda mahu untuk menjaga kebajikan anda.

Bagi yang berminat untuk mencalonkan diri atau pun mencalonkan rakan-rakannya menjadi Majlis Tertinggi baru Permas, borang boleh didapati di meja Permas bertempat di Bilik Persatuan, Aras 1, Bitarasiswa.

Pilihlah calon yang benar2 layak...

FORUM BICARA AD-DIN

Tuesday, July 14, 2009

PELBAGAI PERTANDINGAN DISEDIAKAN UNTUK WARGA UPSI SEMPENA PROGRAM SIMFONI WARISAN!!!

Wednesday, July 8, 2009

ANDA BERBAKAT???
INGIN MENGUJI BAKAT ANDA???

Pakat ramai-ramai sertai “SIMFONI WARISAN” !!!
ANJURAN PERSATUAN MAHASISWA SEJARAH UPSI (PERMAS)
Pelbagai pertandingan telah disediakan untuk anda!!!

1.PERTANDINGAN EXPLORACE
Hari: Sabtu ( 18 julai 2009 )
Tempat: Sekitar Dewan SITC
Masa: 9.00 Pagi

2.PERTANDINGAN FESYEN TRADISIONAL
Hari: Sabtu ( 18 Julai 2009 )
Tempat: Dewan SITC
Masa: 2.30 Petang

3.PERTANDINGAN PERMAINAN TRADISIONAL
Hari: Ahad ( 19 Julai 2009 )
Tempat: Padang UPSI
Masa: 9.00 Pagi

4.PERTANDINGAN LAGU IRAMA MALAYSIA
Hari: Ahad ( 19 Julai 2009 )
Tempat: Dewan SITC
Masa: 2.00 Petang


1.Daftar segera di kaunter pendaftaran bagi setiap pertandingan.

2. Kaunter pendaftaran akan dibuka di hadapan pintu masuk Bitarasiswa.

Tarikh:
09 Julai 09 - 10 Julai 09

Masa:
9.00 Pagi – 12.00 Tengah hari
2.00 Petang – 5.00 Petang

3. Dapatkan borang penyertaan di meja Urusetia Simfoni Warisan PERMAS 09.

4. Kepada sesiapa yang tidak berkesempatan untuk mendapatkan borang penyertaan, anda masih berpeluang untuk berbuat sedemikian sebelum setiap pertandingan tersebut berlangsung di tempat yang dinyatakan.

HADIAH YANG MENARIK MENATI ANDA!!!
JANGAN LEPASKAN PELUANG INI!!

Sebarang Pertanyaan, sila hubungi:
Fieza : 012-2083732 ( Pertandingan lagu irama Malaysia )
Nuhaa Zafira: 013-6295816 ( Pertandingan Fesyen Tradisional )
Syaiha: 019-4373861 ( Pertandingan Explorace & Permainan Tradisional )

SKRIN AMAL PERDANA PERMAS - FILEM SETEM

Tuesday, July 7, 2009



AUTOSHOW SEMPENA PROGRAM SIMFONI WARISAN 2009

Saturday, June 27, 2009



Tarikh : 19 Julai 2009 (Ahad)
Masa : 2.00 petang – 6.00 petang
Tempat : Padang Kawad, UPSI, Tg. Malim,Perak.
Bayaran : RM 35.00 sebuah kereta.

Kategori :

1. K-Car Standard Modified
2. Open Standard Modified
3. Mira Looks

Juri : Penaja – KW Motorsport dan KDI


Hadiah hebat yang ditawarkan!


Johan :

+ Trofi
+ Hamper bernilai RM150
+ Sijil
+ Voucher RM280 Pakej Full Both Side Custom Car Sticker Design (RM400) by KDI
+ 50% Discount on car sticker products by KDI.


Kedua :

+ Trofi
+ Hamper bernilai RM100
+ Sijil
+ Voucher RM200 Pakej Full Both Side Custom Car Sticker Design (RM400) by KDI
+ 50% Discount on car sticker products by KDI.


Ketiga :

+ Trofi
+ Hamper bernilai RM50
+ Sijil
+ Voucher RM150 Pakej Full Both Side Custom Car Sticker Design (RM400) by KDI
+ 50% Discount on car sticker products by KDI.


Setiap peserta akan menerima Sijil Penyertaan
Aktiviti Cabutan Bertuah / lucky draw Kepada Para Peserta


SYARAT-SYARAT PENYERTAAN :

1. Penyertaan terbuka kepada orang ramai.
2. Yuran penyertaan RM35.00 bagi sebuah kereta.
3. Hanya kereta yang bertanding dibenarkan masuk ke tapak pertandingan kereta semasa pertandingan berlangsung.


PERATURAN PERTANDINGAN :

1. Peserta dikehendaki mematuhi arahan dan peraturan yang ditetapkan oleh penganjur dari semasa ke semasa.

2. Penganjur berhak membuat sebarang perubahan atau pindaan berkaitan dengan peraturan tanpa sebarang notis. Peserta harus peka terhadap perubahan dan pindaan yang dibuat.

3. Keputusan juri adalah MUKTAMAT. Sekiranya terdapat sebarang bantahan mengenai keputusan yang telah dibuat akan dikenakan bayaran sebanyak RM300.

4. Setiap peserta layak memperolehi satu nombor cabutan bertuah / lucky draw.


TENTATIF ACARA:

Ahad 19 Julai 2009

2.00 p.m : Pendaftaran
3.00 p.m : Pendaftaran ditutup
4.00 p.m : Penilaian oleh para juri
5.15 p.m : Penyampaian Hadiah dan Cabutan Bertuah / lucky draw
6.00 p.m : Autoshow competition tamat.


JEMPUTAN : Kepada Sesiapa Yang Berminat dan Semua Kelab Kereta.


Peta Perjalanan Ke UPSI




Untuk maklumat lanjut, sila layari


JOM MERIAHKAN PESTA AUTOSHOW SIMFONI WARISAN 09!

Selamat Pengantin Baru!

Wednesday, June 24, 2009



Pihak PERMAS ingin mengucapkan Selamat Pengantin Baru buat penasihat PERMAS yang dikasihi iaitu En Mohd Kamal. Semoga dirahmati Allah selalu dan berbahagia hingga ke anak cucu InsyaAllah.


Ikhlas dari kami,

MT PERMAS Sesi 2008/09

NEGARA KURANG GURU????

Monday, June 22, 2009

Penyataan ini diambil daripada Akhbar Harian Metro/22/6/09/Isnin

BAGI memenuhi keperluan yang semakin mendesak, kerajaan akan menambah jumlah pengambilan guru ke Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dari semasa ke semasa.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata keputusan menambah pengambilan guru itu diambil berikutan keperluan guru semakin mendesak terutama di kawasan bandar yang mengalami kadar pertumbuhan pesat penduduk.
Namun, persoalannya, adakah benar kita masih mengalami kekurangan guru walaupun setiap tahun, institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan institut pendidikan guru (IPG) melakukan pengambilan baru. Apatah lagi, kerjaya sebagai pendidik memang popular di negara ini.

Justeru, ke mana hilangnya bakal guru yang ditawarkan mengikuti program pendidikan IPTA dan IPG itu? Adakah mereka berkemungkinan 'kecundang' sebelum layak untuk menjadi pendidik?

Timbalan Naib Canselor, Akademik dan Antarabangsa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Dr Zakariah Kasa, berkata sememangnya negara masih mengalami masalah kekurangan guru walaupun setiap tahun pengambilan pelajar di IPTA atau IPG dilakukan.

Menurutnya, pengambilan pelajar dalam bidang perguruan berdasarkan unjuran yang dikeluarkan Kementerian Pelajaran.

"Untuk bakal guru di sekolah menengah, mengikut unjuran kementerian, seramai 4,500 pelajar akan mengisi kekosongan di seluruh IPTA tahun ini.

"Daripada jumlah itu, UPSI akan menerima 2,500 pelajar dan semuanya akan mengisi kekosongan jawatan guru untuk empat tahun akan datang," katanya.

Jika dilihat bilangan pelajar yang diperlukan untuk mengisi jawatan guru sekolah menengah empat tahun lagi, ia sangat mencukupi dan masalah kekurangan guru seharusnya tidak berlaku.

Namun, menurut Zakariah, masalah kekurangan guru tetap dihadapi disebabkan tidak punya calon yang sesuai dan benar-benar boleh menjadi guru yang diinginkan.

"Ketiadaan calon ini bukan disebabkan ketiadaan pelajar yang menghantar permohonan, namun ia disebabkan kegagalan mereka melepasi tahap saringan ditetapkan.

"Contohnya, mereka yang ditawarkan untuk mengikuti program perguruan di UPSI perlu lulus Ujian Inventori Pemilihan Pendidik Malaysia (MEdSI) sebelum sesi temu duga khas.

"Kegagalan mereka di ujian MEdSI itu secara tidak langsung mengurangkan jumlah pengambilan dan calon yang diunjurkan kementerian bagi mengisi kekosongan jawatan guru empat tahun akan datang tidak menepati apa yang diinginkan," katanya.

Kegagalan calon melepasi saringan itu secara tidak langsung mengurangkan jumlah pengambilan pelajar diperlukan.

"Selain itu, selepas menamatkan pengajian dan memperoleh ijazah, mereka secara automatik di bawah seliaan kementerian dan sekali lagi perlu lulus Ujian Inventori Sahsiah Keguruan (Insak) sebelum dihantar ke mana-mana sekolah.

"Andai ujian itu gagal, mereka tidak akan bergelar pendidik dan ia menjadikan jumlah guru yang dikehendaki tidak tercapai serta menyebabkan masalah guru berkurangan," katanya.

Faktor kekurangan guru disebabkan graduan memilih subjek yang akan dikendalikan mereka tidak benar sama sekali.

Ini kerana, sepanjang mengikuti pembelajaran, mereka diberi dua subjek mengikut kelayakan dan kementerian tidak akan mengarahkan mereka mengajar subjek yang bukan dalam bidang kepakaran mereka.

Zakariah berkata, negara mengalami masalah kekurangan guru juga disebabkan sikap pemohon yang sambil lewa dalam pemilihan kursus.

"Masalah yang sering kita hadapi bagi pelajar lepasan IPTA yang mahu mengambil Diploma Perguruan di UPSI ini adalah kesilapan memilih kursus.

"Sebagai contoh, di IPTA, pengkhususan yang diambilnya adalah Sains Pertanian dan apabila memohon, dia mahu mengambil subjek Sejarah. Apabila masalah ini berlaku, kita tidak akan memproses permohonannya," katanya.

Menurutnya, masalah kekurangan guru itu juga berpunca daripada ketidaksesuaian calon untuk mengajar sesuatu mata pelajaran. Kuota pengambilan guru untuk subjek agama misalnya, cukup sukar dipenuhi disebabkan calon tidak memenuhi kriteria kelayakan.

"Bagi mengelakkan masalah kekurangan guru daripada berterusan, pemohon perlu memilih subjek yang diingini berdasarkan kelayakan masing-masing di samping minat terhadap subjek pengajaran bagi mengelakkan mereka sendiri berasa tertekan apabila bergelar guru kelak," katanya.

Menariknya, menurut Zakariah, masalah guru yang berhenti selepas dihantar ke kawasan pedalaman bukanlah sesuatu yang ketara. Ini kerana, guru berkenaan sudah diberi pendedahan awal mengenai bidang pengajaran di pedalaman menerusi latihan persediaan.

Di UPSI misalnya, calon guru diberi pendedahan dengan dihantar ke kawasan pedalaman terlebih dulu bagi membiasakan mereka dengan kawasan terbabit sebelum mula mengajar. Justeru, masalah keengganan mengajar di kawasan pedalaman bukanlah sesuatu yang membebankan calon guru berkenaan sehingga rela melepaskan jawatan.

TAKWIM AKADEMIK 2009/2010

Wednesday, June 17, 2009

PERHATIAN KEPADA SEMUA AHLI PERMAS

ASSALAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA

Berikut adalah beberapa maklumat terbaru untuk sesi akademik 2009/2010. Diharap ahli PERMAS dapat memberi perhatian kepada beberapa perkara berikut:

1) Pendaftaran Semester

Permulaan semester 1 2009/2010, pendaftaran semester akan dibuat secara online bermula 1 Julai sehingga 6 Julai 2009. Anda diminta untuk membuka laman web Myupsi Portal untuk membuat pendaftaran semester dengan mengemaskini bahagian profile terutamanya pada bahagian no telefon dan alamat semasa. Proses mengemaskini profile yang lengkap akan membolehkan anda mencetak jadual waktu kuliah untuk semester hadapan. Perlu diingatkan, bahawasanya pendaftaran semester hanya selesai sepenuhnya sebaik sahaja anda mendapatkan jadual kuliah masing-masing menerusi Myupsi Portal.

Dengan sistem ini, pihak fakulti tidak akan memberi jadual kuliah yang biasanya diambil di pejabat fakulti masing-masing dan anda boleh membuat pendaftaran semester dalam tempoh 1-6 Julai 2009 biarpun tidak berada di UPSI. Sekiranya anda tidak melakukan online pendaftaran pada masa yang diberikan, anda perlu menjalani proses pendaftaran secara manual dengan merujuk ke bahagian fakulti.

2) Kuliah

Kuliah akan bermula pada 6 Julai 2009. Anda dinasihatkan merujuk jadual kuliah masing-masing, disamping memastikan diri hadir kuliah seperti biasa. Proses pengambilan kedatangan oleh pensyarah-pensyarah mengajar dan bagi 3 kali ketidakhadiran ke kuliah akan ditahan daripada menduduki peperiksaan.

3) Slip Keputusan Peperiksaan

Pengambilan slip keputusan peperiksaan akan bermula pada satu tempoh yang akan ditetapkan oleh fakulti dan anda boleh mendapatkannya di pejabat fakulti. Urusan pengambilan slip keputusan peperiksaan akan dibuat setelah bermulanya sesi kuliah.

4) Ulang Peperiksaan

Bagi pelajar yang mahu mengulang semula peperiksaan bagi subjek yang gagal, anda boleh berbuat demikian dengan mendapatkan kebenaran pensyarah yang mengajar subjek berkenaan dan membuat pendaftaran online semasa minggu tambah gugur.

Sumber:

Bahagian Peperiksaan dan Pendaftaran Akademik UPSI



Yang menjalankan tugas,

MT PERMAS SESI 2008/09

KISAH PENDAKIAN OBAMA

Sunday, May 3, 2009

SEJAK secara rasmi menjadi Presiden Amerika Syarikat (AS) yang ke-44 pada 20 Januari lalu, figura Barack Obama tidak pernah sunyi daripada diperkatakan oleh seantero dunia.

Kejayaan Obama merubah ‘warna’ White House selepas 232 tahun AS mencapai kemerdekaan, adalah satu pencapaian dan perubahan luar biasa di dalam masyarakat AS.

Obama juga telah membina persepsi yang menyenangkan di kalangan masyarakat antarabangsa, sesuatu yang semakin terhakis terutamanya sewaktu era pemerintahan George W. Bush.

Semua itu dilakukan Obama dalam masa yang sangat singkat, iaitu kira-kira tiga tahun selepas beliau dilantik menjadi Senator Illionis. Justeru, adalah sesuatu yang menarik untuk mendalami apakah kekuatan Obama sehingga berjaya mendapat kepercayaan sedemikian rupa, dan buku ini adalah jawapannya.

Buku dengan tajuk asal The Audicity of Hope ini diterbitkan pada Oktober 2006. Ia dikatakan memberi impak kemenangan yang lebih besar berbanding ucapan dan pidato yang disampaikan oleh Obama.

Rakyat AS yang pada awalnya mahu memberikan undian kepada Hillary Clinton dalam pemilihan calon Presiden yang akan mewakili Parti Demokrat, berubah memilih Obama selepas membaca buku ini.

Selepas diterjemahkan kepada lebih 50 bahasa di seluruh dunia, buku ini akhirnya boleh didapati dalam bahasa Melayu hasil usaha keras sekumpulan panel penterjemah di Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM). Ia dilancarkan oleh Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah baru-baru ini, sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Buku ini sebenarnya lebih kepada sebuah dokumentasi harapan dan hala tuju perjalanan Obama di pentas politik AS.

Ia menyentuh mengenai teori dan gagasan idea bagi merealisasikan impian rakyat AS selari dengan slogan yang didokong oleh Obama iaitu Change: We Can Believe In.

Slogan yang di dalamnya terkandung manifestasi perubahan dan pembaharuan yang dinanti-nantikan oleh kebanyakan rakyat AS.

Judul buku ini sendiri iaitu The Audicity Of Hope adalah lanjutan daripada ucapan pembukaan beliau pada Konvensyen Demokratik pada 2004.

Daripada pidato yang sekitar 20 minit itu, dipanjangkan kepada buku setebal 424 halaman ini.

Tajuk itu juga dipilih Obama berdasarkan khutbah paderi di gereja yang selalu dihadirinya di Chichago.

Obama memulakan buku ini dengan sejarah pendakian beliau dalam bidang politik. Bagaimana beliau berdikit-dikit daripada seorang peguam hak sivil yang berjaya mewakili dewan perundangan Illionis sehinggalah menjadi Senator Illionis.

Pengalaman itu dimulakan oleh Obama ketika beliau masih muda, iaitu baru menjangkau usia 35 tahun.

Begitu juga ketika mengangkat sumpah sebagai Senator Illionis, Obama baru berusia 44 tahun, iaitu umur yang sangat muda untuk seorang ahli politik diterima oleh rakyat AS.

Namun itulah keunikan Obama, yang tidak hanya berjaya meruntuhkan benteng usia, malah merobohkan tembok perkauman untuk dipilih menjadi Presiden kulit hitam pertama AS.

Semuanya dilakukan dalam masa hanya tiga tahun selepas beliau dilantik menjadi ahli Senat, iaitu pendakian ke puncak kuasa yang beliau sendiri tidak mempercayainya meskipun sentiasa berharap untuk membuktikannya.

Bukan rahsia lagi persona Obama di mata rakyat AS adalah kerana kemampuannya berpidato dan meyakinkan orang ramai menerusi ucapannya.

Lontaran suaranya yang padu serta frasa kata yang asli menghidupkan gagasan-gagasan idea dan pemikiran yang disampaikan beliau.

Itulah juga yang dibuktikan oleh Obama menerusi buku dengan judul asal The Audicity of Hope ini. Bab-bab terawal dalam buku ini dimulakan dengan penyelusuran sejarah politik terbaru Amerika.

Obama cuba menjelaskan punca berlakunya kecenderungan memihak yang menyakitkan hati pada hari ini. Sesuatu yang sebenarnya turut berlaku dalam senario politik baru di negara ini.

Perbincangan itu diimbangkan pula dengan kupasan mengenai nilai-nilai, dasar dan kesepakatan yang boleh dikongsi seluruh rakyat Amerika dalam bab seterusnya.

Lebih mendalam kupasan mengenai perpaduan itu disorot dengan pengkajian ke atas Perlembagaan yang merupakan sumber hak individu. Malah ia juga sebagai cara untuk menyusun hubungan demokrasi dalam membentuk masa depan.

Obama seterusnya menyentuh mengenai sesetengah kuasa institusi seperti wang, media, kumpulan berkepentingan dan proses perundangan yang merimaskan ahli politik termasuk mereka yang berintegriti.

Menuju bab-bab terakhir pula, Obama mencadangkan gugusan-gugusan idea dan pemikiran bagaimana beliau dan rakyat AS boleh melangkaui sempadan dalam menangani pelbagai cabaran.

Antara masalah yang diberikan perhatian khusus ialah kegawatan ekonomi, ketegangan kaum dan agama dalam badan politik.

Serta ancaman antarabangsa daripada keganasan sehinggalah kepada wabak penyakit berbahaya.

Kesemua isu ini dibincangkan dalam ruang pemikiran dan pandangan Obama yang sangat sederhana, tetapi sangat mengesankan. Tidak terlalu optimistik sehingga kelihatan retorik, sebaliknya sangat realistik dan penuh harapan.

Menerusi buku ini, Obama memperlihatkan kepada dunia satu lagi cabang kemahiran beliau yang jarang dimiliki oleh politikus lain, iaitu sebagai penulis berbakat.

Obama turut membuktikan bahawa AS masih belum ketandusan pemimpin yang bijaksana dan berilmu untuk menduduki Pejabat Oval.

Adalah satu kerugian kepada pembaca di negara ini kerana buku pertama Obama iaitu Dream of My Father tidak turut diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu.

Buku itu menjadi buku New York Times paling laris terjual selama 142 minggu berbanding buku ini yang bertahan selama 67 minggu.

Judul: Keberanian Menggapai Harapan

– Gagasan Meraih Kembali Impian Amerika

Penulis: Barack Obama

Penerbit: Institut Terjemahan Negara

Malaysia (ITNM)

ISBN: 978-983-068-349-2

Harga: RM45

Pengulas: MOHD. KHUZAIRI ISMAIL

Tahniah Kepada Warga PERMAS!

Tuesday, April 28, 2009




Terima kasih & tahniah kepada warga PERMAS yg telah menjayakan Khidmat Masyarakat di Felda Besot 2, Slim River pada 10-12 April 2009. Semoga program tersebut dapat menjadi pembakar semangat ke arah melahirkan bakal guku yg bitara dalam bidang akademik & aktiviti sosial. Selamat Maju Jaya

Guru Tuisyen Atau Guru Sebenar: Pilihan Anda

Saturday, April 25, 2009

Macam-macam

Cikgu-cikgu

Sistem pendidikan Malaysia perlu kembali kepada amalan asas

KETIKA belajar di sekolah rendah dahulu, guru-guru sering menyuruh muridmurid membaca petikan atau karangan bahasa Malaysia di depan kelas. Seorang demi seorang.

Begitu juga dengan mata pelajaran lain seperti menyelesaikan masalah Matematik dan membaca Bahasa Melayu. Semuanya dibuat di depan kelas.

Bagaimanapun, pada masa ini amalan seperti itu tidak lagi berlaku dan alasannya mudah. Terlalu ramai murid di dalam sesebuah kelas dan jika itu diamalkan, sudah pasti ia akan mengambil masa yang lama untuk menghabiskan sesuatu topik.

Jika gagal menghabiskan semua topik sebelum peperiksaan, ia akan memberi kesan kepada persiapan pelajar dan sekali gus keputusan peperiksaan juga merosot.

Begitulah terkongkongnya pelajar kita di Malaysia dengan sistem pendidikan yang berasaskan peperiksaan sehingga setiap program yang dilakukan oleh sekolah hanya bertitik tolak soal peperiksaan. Ia membuatkan usaha membentuk sahsiah pelajar terpinggir.

Bagaimanapun penulis terkejut apabila kaedah seperti itu masih dipraktikkan di Indonesia.

Anak-anak penulis yang belajar di sebuah sekolah agama persendirian di Jakarta, setiap hari membuat persiapan untuk membaca di depan kelas walaupun masih di peringkat sekolah rendah.

Pada mulanya mereka kelihatan begitu gugup untuk berdepan dengan rakan sekelas, maklumlah ia jarang dilakukan ketika belajar di Malaysia, tetapi lama-kelamaan keyakinan mereka semakin meningkat.

Kini dalam tempoh singkat mereka sudah biasa membaca di depan kelas, malah cukup tidak sabar bila ada aktiviti pembentangan atau persembahan di depan kelas.

Mereka juga berkumpul bersama rakan-rakan untuk merancang bentuk persembahan atau pembentangan yang akan dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan dalam suasana ceria.

Rupa-rupanya membaca di depan kelas itulah asas kepada membentuk keyakinan diri bagi membuat pembentangan yang lebih besar ketika di peringkat universiti, mahupun ketika bekerja.

Bagaimanapun ia semakin tidak dipraktikkan di sekolah-sekolah di negara kita.

Jadi apabila mengetahui Kementerian Pelajaran mahu membuat satu transformasi ke atas sistem pendidikan negara pada tahun depan, penulis terfikir kembali perkara asas tersebut.

Amalan yang diterapkan oleh guru-guru dahulu perlu digunakan kembali di sekolah bagi meningkatkan keyakinan pelajar.

Mungkin ia dilihat terlalu remeh tetapi mempunyai kesan yang mendalam bagi membentuk sahsiah dan keyakinan pelajar.

Satu lagi insiden menarik ialah apabila anak-anak penulis dengan bangga menunjukkan wang kertas "Ringgit Malaysia", tibatiba salah seorang rakan mereka bertanya gambar apa dan siapakah yang tertera pada semua wang berkenaan.

Sekali lagi anak penulis gagal memberi jawapan yang pasti, berbanding rakan-rakan di Jakarta. Mereka dapat memberi penjelasan mengenai setiap gambar yang terpapar pada setiap wang kertas Indonesia kerana ia turut dipelajari di sekolah.

Ini bermakna pendidikan kita terlalu luas skopnya sehingga kita gagal menerapkan pengetahuan persekitaran kepada pelajar.

Bagi pelajar di Jakarta, mereka perlu belajar mata pelajaran khusus tentang Jakarta. Begitu juga bagi pelajar di kawasan lain, mereka akan belajar tentang bandar-bandar utama di kawasan mereka.

Pelajaran berkenaan memberi pendedahan terhadap apa yang ada di persekitaran mereka, termasuk lokasi menarik atau tumpuan di kawasan setempat serta sejarahnya.

Pelajaran berkenaan tidak hanya tertumpu di dalam bilik darjah, tetapi mereka perlu melawat dan melihat apa yang dipelajari melalui rombongan sambil belajar yang dianjurkan oleh pihak sekolah.

Jadi tidak hairan jika setiap hari pasti ada sahaja ratusan murid-murid sekolah rendah melawat Muzium Nasional (Monas) di Jakarta dan kaedah berkenaan juga tidak lagi dipraktikkan di Malaysia.

Penulis fikir rombongan sedemikian itu lebih bermanfaat daripada membawa para pelajar pergi berkelah di pantai dan air terjun yang berisiko tinggi kemungkinan berlaku kemalangan, apatah lagi terlalu sedikit ilmu pengetahuan yang diperolehi.

Memang tidak dinafikan sistem pendidikan negara jiran juga mempunyai banyak kelemahan tetapi mungkin kita boleh mempelajari dan mengambil sedikit daripada aspek positif dalam sukatan pelajaran mereka bagi memantapkan sistem pendidikan negara.


Gerasi Bansa
www.sila-silagerasibansa.blogspot.com

Kabinet Baru Malaysia..Tahniah daripada PERMAS....

Sunday, April 12, 2009




Semoga Barisan Baru ini dapat memahami kata hati rakyat khasnya mahasiswa/mahasiswi.

PERHATIAN KEPADA SEMUA PESERTA KHIDMAT MASYARAKAT DI FELDA GUNUNG BESOUT 2 ( BAKSIS )

Monday, April 6, 2009

Assalamualaikum...

Perhatian kepada semua peserta BAKSIS di Felda Gunung Besout 2, satu perjumpaan akan diadakan seperti berikut:

Tarikh: 9 April 2009
Hari : Khamis
Pukul : 8.00 Malam
Tempat: Bitarasiswa (Tingkat bawah belakang ATM Bank Islam)

Semua peserta diwajibkan hadir ke perjumpaan tersebut kerana ini adalah perjumpaan pertama dan terakhir sebelum semua peserta pergi ke program BAKSIS.Perjumpaan nanti akan membincangkan tentang tentatif program,pengagihan baju t-shirt, serta tugas-tugas peserta semasa di tempat program.

Jika ada antara peserta yang ada kelas pada waktu yang ditetapkan tersebut,peserta haruslah menghantar wakil yang turut sama pergi ke program BAKSIS.Hal ini kerana,pemakaian baju t-shirt ditetapkan semasa bertolak ke Felda Gunung Besout pada hari Jumaat ini.

Kepada sesiapa yang belum lagi membayar yuran program,sila berurusan dengan bendahari program dan wakil setiap semester bagi melancarkan lagi perjalanan program ini.

Kerjasama anda amat diharapkan.Segala pertanyaan,bolehlah anda berhubung dengan ajk-ajk program atau pun wakil semester anda.Terima Kasih.

PERHATIAN KEPADA PELAJAR SEMESTER 6

Thursday, April 2, 2009

Kepada pelajar Semester 6, ada beberapa perkara yg ingin saya sampaikan di sini untuk perhatian anda semua:

1. JADUAL PEPERIKSAAN KURSUS LSP 4012 KAEDAH PENYELIDIKAN SEJARAH - setelah berbincang dengan pihak fakulti, wakil fakulti telah menjelaskan bahawa Bahagian Akademik telah menerima permohonan dari pihak FSSK dan akan cuba untuk memaklumkan berkenaan tarikh peperiksaan tersebut pada minggu hadapan (minggu ke-13). Pihak fakulti juga telah besetuju untuk menghebohkan dan menampal memo berkenaan tarikh peperiksaan kursus tersebut setelah diberitahu oleh Bahagian Akademik kelak. Harap maklum.

2. PENDAFTARAN KURSUS LSP 4033 LATIHAN ILMIAH - Setelah berbincang dengan pihak fakulti, mereka menjelaskan bahawa pelajar semester 6 yang akan mengambil subjek LSP 4033 Latihan Ilmiah pada semester hadapan boleh menambahkan kursus tersebut pada minggu "ADD-DROP" semester hadapan. Namun begitu, wakil fakluti juga akan cuba mendaftarkan kursus tersebut bagi semua pelajar semester 6 yang akan mengambil kursus tersebut pada semester hadapan pada akhir semester ini. Harap maklum.


ABU HANIFAH HARIS

FORUM PPSMI: SATU INOVASI & KONFRONTASI DALAM PENDIDIKAN.

Thursday, March 26, 2009

Assalamualaikum dan selamat petang kepada semua ahli PERMAS.

Di sini,saya ingin mengajak dan menjemput semua ahli PERMAS untuk hadir ke satu forum yang akan membincangkan lebih terperinci tentang kedudukan Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan dan pembelajaran di sekolah. Justeru,jika anda semua ingin tahu dengan lebih mendalam, marilah kita sama-sama berkumpul dan mendengar forum yang akan diadakan seperti butiran berikut:

TAJUK: FORUM PPSMI:SATU INOVASI & KONFRONTASI DALAM PENDIDIKAN.

TARIKH: 27 MAC 2009

HARI: JUMAAT

WAKTU: 9.15 PAGI HINGGA 12.00 TENGAH HARI.


TEMPAT: BILIK INTERAKSI BITARASISWA ( TINGKAT 2 )


AHLI PANEL:

1) Prof Emeritus Dato' Dr. Isahak Haron (UPSI)

2) Prof Emeritus Dr. Abdullah Hassan (UPSI)

3) Saudara Khairul Anwar (PKPIM)


Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan
Prof. EMeritus Dato' Isahak Haron

Hasil Karya Prof Emeritus Dr Abdullah Hassan



Dato' A. Samad Said bersama Prof. Emeritus Abdullah Hassan

Uji Bakat Simfoni Warisan ( Teater)

Thursday, March 12, 2009

Kepada ahli PERMAS, uji bakat teater untk hari simfoni warisan akan dijalankan seperti di bawah ini



Tarikh:14 Mac 2009 ( Sabtu)

Masa: 10.00 pagi - 2.00 petang

Tempat: Bilik Interaksi Fakualti Sains Sosial

*Kepada yang berminat anda dijemput datang. Makin banyak penyertaan makin bagus...datanglah beramai-ramai

* Tajuk: Si Bongkok Tanjung Puteri

Sebarang Pertanyaan boleh diajukan kepada:

AYUNIZA 0125382401
Nurul Hafiza 0192813725
Samuel Sila 0137117477
Azree ( Semester 4)

*anda juga boleh hubungi MT semester anda untuk keterangan lanjut

Isu Minor Semester 2

Wednesday, March 11, 2009

Salam Sejahtera kepada semua PERMASIAN,

Akhirnya setelah kita perjuangkan masalah Minor ini di peringkat atasan, isu ini nampak akan berakhir dan nampak selesai.

Dr. SUhailly sendiri telah memberi kebenaran bagi menambah kuota untuk pelajar sejarah mengambil Minor PA..Jutaan Terima Kasih di atas keprihatinan Dr.Suhailly.

Saya sendiri akui sepanjang semalam saya berjumpa sebanyak 12 kali dengan Dr. Suhailly bagi memastikan isu ini diselesaikan dengan cara yang bijak sekali.

Kepada kawan-kawan seperti Siti Syazana, Ridzuan Hamzah, Suhana, Alimin, Aifaa, Linggie,Faris,Azah & Kawan-kawan lain saya mengucapkan jutaan terima kasih kerana kesudian anda semua berjuang bersama-sama menegakkan hak kita sebagai pelajar dan tidak jemu..

Tidak ketinggalan kepada Norizan, Jalisa, Aswani, Adnin, dan Farizah..jutaan terima kasih tidak terhingga kerana anda tidak jemu membantu di dalam memperjuangkan hak kita..

Kepada MT PERMAS, terima kasih atas keprihatinan dan sokongan anda dalam membantu pelajar semester 2 di dalam isu ini.

Ikhlas,
Samuel SIla Mathew Unjah
www.sila-silagerasibansa.blogspot.com
Exco Kebajikan & Sosial PERMAS

Isu Minor Semester 2

Sunday, March 8, 2009

Kepada pelajar Semester 2 Pendidikan Sejarah AT32 UPSI,

Seperti yang anda ketahui bahawa kita mempunyai masalah pendaftaran minor. Selaku exco kebajikan & sosial Permas saya berharap saudara-saudari sekalian bersabar. Seperti yang saya katakan sebelum ini, kita akan berusaha untuk menyelesaikan masalah ini dengan pihak atasan.

Sehubungan dengan itu saya berharap kerjasama anda semua untuk bersama-sama membantu dalam menyelesaikan isu ini. Di sini saya berharap tidak ada yang mementingkan diri dan cuba bersama-sama menyelesaikan isu ini.

Saya juga telah bertemu dengan Timbalan Dekan Akademik Fakualti Sains Sosial dan Kemanusian UPSI, Dr Mohd Suhailly dan Ketua Jabatan Sejarah, En. Ahmad Zainudin untuk menyelesaikan masalah ini. Timbalan Dekan kita telah bersetuju untuk membantu kita di dalam menyelesaikan isu pendaftaran minor ini.

Jadi, sebelum selasa ini saya berharap segala borang-borang dan surat-surat itu telah diselesaikan. Selepas kuliah jam 11 pagi, saya akan sekali lagi bertemu dengan Timbalan Dekan bagi mendapatkan pengesahan beliau dan berharap isu minor ini akan selesai dalam minggu depan.

Saya mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Dekan Akademik, Dr. Suhailly dan KJ Sejarah, En.Ahmad yang sanggup memberi perhatian masalah pendaftaran minor pelajar sejarah.

Avoir...naka tu dulu..tq

Yang Ikhlas,
Samuel Sila Mathew Unjah
www.sila-silagerasibansa.blogspot.com

MEMORI KEJOHANAN ANTARA FAKULTI (KESAFT 09)

Monday, February 16, 2009

Bersama sorakan penonton dan semangat berpasukan yang kuat, pasukan futsal yang dihantar oleh Persatuan Mahasiswa Sejarah telah berjaya menempa kejayaan memenangi Kejohanan Antara Fakulti 2009 (KESAFT) yang berakhir pada 15 Februari semalam. Pasukan PERMAS menggunakan nama Kuweng Boy menggabungkan pemain senior dan junior berjaya melangkah ke final dan seterusnya memenangi perlawanan tersebut dengan 1-0. Dibarisi oleh Izzat, Farizal, Essami, Naimmi, Angah, Faizal, Paijan, Firdaus dan Budin menunjukkan persembahan yang konsisten sepanjang kejohanan tersebut. Memenangi semua perlawanan ketika dalam kumpulan seterusnya melangkah ke pusingan kedua dan suku akhir. Menerima tentangan yang sengit dalam separuh akhir apabila sekadar seri 1-1 dengan pasukan Larom daripada Pendidikan Moral. Namun, Kuweng Boy berjaya menang dalam penentuan penalti. Pada final tersebut, mereka berhadapan dengan Pasukan Geografi daripada Pendidikan Geografi. Kuweng Boy berjaya memperolehi gol pada babak-babak terakhir melalui rembatan Naimmi.



Sementara itu, PERMAS turut memperlihatkan peningkatan dalam beberapa acara yang turut disertainya seperti bola tampar dan badminton. Pasukan bola tampar terpaksa berpuas hati di tempat keempat selepas tewas kepada Pendidikan Sekolah Rendah (PSR) dengan kiraan 27-25, 22-25 dan 8-15. Pasukan bola tampar PERMAS diwakili oleh Zahran, Kohar, Syarif, Syer, Azid, Izzat, Shahrul Reza dan Faizal.



Pasukan badminton turut menjadi tumpuan dalam kejohanan tersebut apabila regu perempuan PERMAS telah berjaya melangkah ke suku akhir. Diwakili oleh Fiza dan Syiqah, regu badminton perempuan meneruskan cabaran namun telah tewas kepada pasukan daripada Pendidikan Sains Sukan. Namun begitu, kesungguhan dan semangat daripada pasukan badminton PERMAS tidak dapat dipertikaikan lagi apabila berhempas pulas untuk menundukkan lawannya ketika pusingan kedua. Manakala regu badminton lelaki yang diwakili oleh Sabri terpaksa berpuas hati apabila tewas ketika melalui pusingan kedua.



Boleh dikatakan bahawa pasukan yang dihantar oleh PERMAS memperolehi pencapaian yang menakjubkan. Hal ini kerana komitmen dan semangat berpasukan yang ditonjolkan oleh setiap peserta amatlah menggalakkan. Justeru itu, seharusnya penglibatan dalam kejohanan ini mendapat sokongan daripada semua pihak pada masa akan datang. Penghargaan dan ucapan tahniah kepada semua MT PERMAS yang turut menyumbang dan memberi galakan kepada kejohanan ini. Eddy, Iza, Fiza, Syiqah, Norizan dan Abu Hanifah, terima kasih atas kerjasama dan sokongan anda. Semoga keikhlasan anda memperoleh ganjaran pahala daripada Allah. Tidak ketinggalan kepada peserta dan juga individu yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam memastikan kejayaan dalam penyertaan KESAFT ini.

Perjalanan adalah sebaik-baik guru...

Saturday, February 14, 2009

Dalam kesibukan kita mengharungi kehidupan sebagai pelajar universiti, mungkin ada masa-masanya kita menhadapi tekanan ataupun stress. Kata orang, hidup ini penuh warna-warni. Hidup tanpa cabaran bukan hidup namanya. Walaupun kita selalu mengharapkan hidup yang damai tetapi pasti keadaannya tidak begitu. Ada harinya kita sampai suatu selekoh masalah dan perlu memperlahankan sedikit kelajuan hidup. Ada ketikanya kita jatuh tersungkur tetapi perlu bangun dan melangkah semula. Walau apa cabaran sekalipun, hidup ini perlu diteruskan. Hanya mereka yang kuat, gigih dan tidak berputus asa yang boleh sampai ke garis penamat dengan kejayaan. Kita selalu bercakap tentang kejayaan, tetapi bagaimana pula dengan kegagalan?? Adakah kegagalan itu tidak mempunyai nilainya dalam hidup?? Bagaimanakah kita dapat membentuk hati sekeras waja untuk menghadapi tekanan terutama dalam hidup serba mencabar hari ini.
Dalam menghadapi tekanan dalam diri sebaiknya kita berdoa kepada Allah Taala. Mintalah kepadaNya supaya ketenangan yang dicari itu akan kita jumpa. Terima hakikat bahawa hidup ini memang begitu! Tidak ada hidup tanpa cabaran, masalah ataupun kegagalan. Jika nabi dan rasul pun diberi ujian inikan pula kita manusia biasa yang penuh salah silap. Ingatlah bahawa Tuhan itu Maha Adil dan Penyayang. Apabila ditimpa masalah pasti ada hikmah yang tersembunyi. Terpulang kepada kita untuk memahami di manakah ia berada. Tidak ada masalah yang terlalu sukar sehingga mustahil untuk diatasi. Tidak ada manusia di atas muka bumi ini yang dapat mendakwa dia memikul masalah ataupun bencana paling hebat. Jika masalah anda berat, pasti ada orang lain yang mempunyai masalah sepuluh kali ganda lebih teruk. Ada ketikanya kita perlu melihat penderitaan orang lain dan insaf bahawa betapa ‘OK’nya kita. Masalah yang datang bukan untuk diratapi tetapi untuk menduga kekuatan diri. Semakin kental semangat, semua masalah dapat diatasi. Selesaikan masalah satu persatu. Kadang kala dalam hidup ini, masalah itu datang umpama sebuah gunung. Jangan bermimpi kita dapat menyelesaikannya sekali gus. Berfikirlah secara rasional dan tenang. Selesaikan masalah itu satu persatu. Tarahlah gunung masalah itu sedikit demi sedikit sehingga menjadi bukit. Teruskan sehingga menjadi busut kemudian rata dan hiasilah sehingga menjadi taman. Elakkan daripada terlalu memendam perasaan. Manusia itu memang dijadikan dengan memiliki pelbagai perasaan. Itu semua tidak dijadikan dengan sia-sia dan tentu ada peranannya. Perasaan-perasaan ini adalah senjata untuk kita hadapi masalah dan tekanan hidup. Apa-apa pun nikmatilah hidup di alam kampus ini dengan sepuasnya. Menetapkan matlamat itu adalah peralatan untuk berjaya. Namun, matlamat itu hanya umpama destinasi. Jangan terlalu fanatik dengan matlamat itu sehingga lupa bahawa perjalanan hidup ini juga perlu dinikmati. Adalah bagus anda menetapkan matlamat untuk mencapai PNGK 4.0 setiap semester. Namun, ini tidak bermakna anda tidak membuat kerja lain selain belajar dan membaca buku. Bersukan, bersosial, berpesatuan, dan nikmatilah hidup di menara gading kerana kenangannya nanti tidak akan berulang semula. Dunia kampus bukan untuk menjadi ulat buku semata-mata. Pencapaian PNGK 4.0 itu hanya nombor. Hidup ini terlalu mahal untuk diukur sekadar dengan nombor.

-someonewhocansee-

Coretan Sepanjang Gerai Jualan PERMAS!!!

Sunday, February 8, 2009

Salam perpaduan buat semua….alhamdulillah berkat kesungguhan kita bersama dapat jua kita menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan untuk mencari sumber kewangan alternatif untuk menampung perjalanan aktiviti persatuan. Karnival Hari Terbuka KHAR 09 yang berakhir semalam menjadi medan pertama buat PERMAS untuk membuka gerai jualan. Program gerai jualan ini diketuai oleh saudara Newman Orjunal dan juga saudara Liry Pahang Anyi selaku MT bagi Biro Tugas-tugas Khas dan Biro Keusahawanan dan Ekonomi. Disamping itu, sebagai lambang dan semangat kerjasama yang ingin diterapkan dalam aktiviti bepersatuan, turut membantu mengerah tenaga adalah terdiri daripada saudara Eddy Safbree, Khairul Azhar, Pak Lah, Muiz, Ijat, Samuel, Rizal dan saudari Syaiha, Izza, Nuhaa, Mai, Fiza, Syiqah, Siti dan beberapa orang pelajar daripada semester 4,3 dan 2.



Tahniah dan jutaan terima kasih daripada seluruh warga PERMAS atas semangat dan dedikasi anda untuk menjayakan dan membantu gerai jualan ini. Sesungguhnya orang-orang yang ikhlas dalam pekerjaannya imbuhannya adalah daripada Allah Taala. Walaupun bekerja tanpa sebarang imbuhan wang, komisyen, bonus atau apa-apa yang berkaitan namun semangat dan dedikasi kerja yang ditunjukkan adalah amat membanggakan. Walaupun tugasan `assignment` perlu diusahakan namun kerana semangat untuk menyertai aktiviti bepersatuan pembahagian masa dapat mereka lakukan dengan sebaiknya. Diharapkan semangat dan dedikasi yang ditunjukkan mereka dapat dituruti oleh semua ahli PERMAS tanpa mengira status anda sebagai apa, tanpa mengira penat dan lelah, tanpa mengira kepentingan diri sendiri tetapi kerana kepentingan persatuan semua itu dapat diketepikan.





Marilah kita bersama-sama bersatu hati memberikan komitmen yang cukup tinggi buat aktiviti persatuan kerana kita harus ingat, teman-teman kita yang bertungkus lumus dalam menjayakan aktiviti persatuan sama keadaan dan situasinya dengan kita. Korbankanlah kepentingan peribadi melebihi kepentingan sejagat kerana seperti yang telah dinyatakan tadi, teman-teman kita juga ada kepentingan masing-masing yang perlu diusahakan. Sama juga keadaannya seperti kita. Percayalah! Bepersatuan tidak akan merugikan kita seandainya kita tahu untuk bekerjasama dan mengurus masa dengan sebaik mungkin. Setiap kali kita menjalankan aktiviti persatuan dan memenuhi selera anda untuk melihat persatuan menjalankan aktiviti dengan sekerap mungkin, amat malanglah sekiranya anda mengambil sikap acuh tak acuh membiarkan teman-teman anda terkontang kanting membantu melancarkan aktiviti persatuan. Marilah kita bersama-sama memeriahkan aktiviti persatuan kerana amat rugilah anda sekiranya gah dengan kegemilangan dalam akademik namun cetek dan daif dalam aktiviti di luar akademik.



Seharusnya anda mengerti tugas anda sebagai bakal pendidik di sekolah nanti bukanlah mengajar anak bangsa didalam kelas semata-mata, tetapi perlu diingat, anda akan berhadapan dengan pelbagai aktiviti diluar bilik darjah seperti menguruskan rombongan pelajar sekolah, menjadi penasihat kepada kelab dan persatuan pelajar, dan bermacam-macam aktiviti yang menuntut pengalaman anda dalam mengurus dan menggerakkan sebarang aktiviti. Tatkala itu, akan teringatlah anda akan kemalasan dan kelayuan anda selama empat tahun di UPSI ini umpama burung sejuk yang menyepikan diri daripada sebarang aktiviti diluar bilik darjah atau dengan kata mudahnya aktiviti bepersatuan. Seandainya anak-anak murid anda membandingkan anda dengan guru-guru yang lain yang lebih kreatif dan dinamik daripada anda, jangan salahkan UPSI, jangan salahkan orang lain atas ceteknya, daifnya pengalaman anda dalam mengurus dan melibatkan diri dalam sebarang aktiviti di luar bilik kuliah tetapi salahkanlah diri anda sendiri.



Gunakanlah peluang dan masa lapang anda untuk pengisian dan penglibatan dalam gerak kerja yang berfaedah buat kesenangan anda di sekolah nanti. Ingatlah! Pengalaman dan ilmu adalah suatu perkara yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit tetapi melalui usaha dan minat untuk mendapatkannya. Akhir kalam, terima kasih kepada teman-teman dan warga PERMAS yang memberikan sokongan moral dan modal sepanjang gerai jualan PERMAS berlangsung. Ingatlah! Gerai jualan kita bukanlah untuk mencari keuntungan semata-mata tetapi gerai jualan ini diharapkan dapat dijadikan medium untuk kita lebih bekerjasama, mengenali antara satu sama lain dan diharapkan kita beroleh manfaat dan pengalaman berguna sepanjang gerai jualan berlangsung. Gelak tawa, gurau senda, bantu membantu itulah manisnya buat kenangan kita bersama.


John F. Kennedy: ” Jangan tanya apa sumbangan negara kepada kamu....tetapi tanyalah apa sumbangan kamu kepada negara...”


Editor:
Dari Ruangan Kecil Al-Baehaqie
Biro Penerbitan dan Dokumentasi
PERMAS 2008/09

PERISYTIHARAN CUTI UMUM NEGERI

Sunday, February 1, 2009

Bagi menjulang serta memartabatkan kegemilangan upacara perayaan sambutan jubli Perak sempena 25 tahun pemerintahan kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, maka dengan ini kerajaan Pakatan Rakyat negeri Perak telah bersetuju dan meluluskan pengisytiharan tarikh 3 Februari 2009 (Selasa) bersamaan 7 Safar 1430H sebagai cuti umum bagi seluruh jajahan takluk negeri Perak Darul Ridzuan.

Upacara penganugerahan bintang tertinggi AZLANII yang akan berlangsung pada 3 Feb. 2009 jam 10.00 pagi, di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar turut mendapat liputan langsung. Dengan cuti umum ini, akan memberi peluang kepada seluruh rakyat Perak khususnya bagi mengikuti siaran langsung tanda memperingati tarikh tersebut.

Maka saya mengajak seluruh rakyat Perak mengambil kesempatan cuti umum ini untuk merayakan Jubli Perak bersama-sama kerajaan negeri. Berbagai-bagai majlis dan program telah diatur bagi memperingati sambutan jubli Perak ini. Kemuncaknya ialah pada 14 Feb. 2009 yang mana semua DYMM Tuanku Sultan setiap negeri termasuk TYT Sabah, Melaka, Pulau Pinang dan Sarawak) , DYMM Sultan Brunei dan pemimpin negara akan berada di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar bagi satu upacara gemilang.

Sama-samalah kita berdoa agar Allah SWT melindungi kebawah DYMM Paduka Sri Sultan Perak dan Permaisuri serta seluruh kerabat diraja dikurniakan kesihatan, keampunan serta keadilan dalam memerintah negeri Pereak DR yang kita cintai ini.

Posted by Dato' Seri Ir. Haji Mohammad Nizar Jamaluddin

MAKLUMAT TERKINI

Saturday, January 31, 2009

Bahagian Akademik UPSI mengesahkan bahawa hari Isnin, 3 Februari 2009 ini adalah cuti umum bagi seluruh negeri Perak sempena sambutan Jubli Perak KDYMM Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Azlan Shah. Oleh yang demikian, UPSI akan turut bercuti pada hari tersebut. Harap Maklum.

Berfikir seperti Seorang Jutawan

Friday, January 30, 2009

Berdasarkan laporan kekayaan penduduk dunia yang dikeluarkan oleh Merrill Lynch dan firma perunding Capgemini, terdapat 9.5 juta orang jutawan (memiliki harta bernilai lebih AS$1 juta) di seluruh dunia pada tahun 2006. Pada tahun tersebut Singapura, India dan Indonesia mencatat pertumbuhan paling tinggi bilangan penduduk yang berjaya mencapai status jutawan. Pada tahun 2007 pula dianggarkan terdapat 415 orang yang bertaraf bilionair di Amerika, 101 orang di Rusia dan 60 orang di Jerman.


Menjadi jutawan adalah idaman hampir semua orang, namun demikian, pada tahun 2006 dianggarkan cuma enam peratus daripada penduduk dunia yang berupaya mencapai status tersebut. Soalnya, Di manakah perginya baki 94 peratus yang lain itu?. Ramai yang beranggapan bahawa negara, bangsa, kepandaian dan peluang adalah faktor utama, namun kepercayaan tersebut tersasar jauh daripada kebenaran, faktor utama yang membezakan mereka adalah corak minda. Para jutawan didapati mempunyai cara berfikir yang berbeza dengan golongan biasa. Mereka mempunyai kepercayaan yang berbeza tentang konsep pemilihan kerjaya, pasangan, tempat tinggal, penggunaan masa lapang, pendidikan hinggalah ke jenis kenderaan yang dipandu.


Menurut kajian Dr. Thomas J. Stanley, corak minda bukan bermaksud kepandaian atau IQ yang tinggi, tetapi membawa maksud “berfikir dengan betul.” Fikiran yang betul tentang pemilihan kerjaya adalah berasaskan kepada minat dan kebolehan seseorang. Mereka menjadi jutawan hasil daripada pendapatan melakukan sesuatu yang diminati atau menggunakan kemahiran tertentu yang dimiliki. Dengan memilih kerjaya dalam segmen tersebut, mereka berupaya memberi perkhidmatan yang lebih baik daripada orang lain, dan dengan itu mereka dibayar dengan imbuhan yang lebih tinggi berbanding dengan orang lain. Menurut kajian Dr. Stanley dua pertiga jutawan mendefinisikan diri mereka sebagai bekerja sendiri atau usahawan dan bergiat dalam bidang yang membolehkan mereka menjadi penyumbang terbaik.


Namun demikian, memperoleh pendapatan yang lumayan sahaja bukanlah syarat mutlak untuk bergelar jutawan, mereka juga harus mempunyai fikiran yang betul tentang konsep perbelanjaan. Para jutawan percaya, pengurusan kewangan bermula dari rumah. Lebih daripada 80 peratus jutawan memilih pasangan hidup yang lebih konservatif tentang kewangan daripada mereka, di samping mampu mengurus perbelanjaan keluarga dengan baik. Dalam memilih pasangan hidup tersebut, mereka memahami perbezaan antara seorang pengurus perbelanjaan dengan seorang yang bakal menjadi sumber perbelanjaan dalam ekonomi rumah tangga. Lebih daripada 90 peratus jutawan terdiri daripada mereka yang sudah berumah tangga dan sebahagian besar daripada mereka cuma mempunyai seorang isteri.


Mereka berkongsi falsafah pengurusan yang sama dengan Tun Daim Zainuddin, bekas Menteri Kewangan Malaysia iaitu “ tingkatkan pendapatan dari semasa ke semasa, namun mesti kekal dengan cara hidup yang lama.” Menurut satu maklum balas, 80 peratus penduduk Malaysia menghabiskan pendapatan bulanan mereka dalam perbelanjaan isi rumah dan terus meningkatkan perbelanjaan tersebut seandainya berlaku peningkatan pada tahap pendapatan bulanan. Cara ini sangat bertentangan dengan kaedah berfikir golongan jutawan.


Para jutawan juga tidak mahu memasuki zon yang diistilahkan oleh mereka sebagai “Fokus Serangan” . Mereka berfikir bahawa adalah bijak untuk terus kekal di kawasan perumahan yang sedia ada, walaupun mereka mampu memiliki rumah yang lebih mewah, di samping mengelakkan diri daripada menjadi sasaran jenayah dan memulakan hutang baharu perumahan. Pada masa yang sama, mereka juga mampu menikmati peningkatan nilai rumah yang sedia ada. Di Amerika lebih daripada 90 peratus jutawan tinggal di rumah milik sendiri, dan kebanyakan daripada mereka tinggal di rumah yang sama sejak 20 tahun lalu.


Hampir 50 peratus daripada mereka juga tidak berpindah dan membeli rumah tersebut semasa orang lain sibuk menjualnya. Lebih daripada dua pertiga jutawan bekerja antara 45 hingga 55 jam seminggu. Pada hari bekerja, lazimnya mereka bangun seawal jam tiga atau empat pagi. Mereka tidak mendefinisikan diri sebagai gila bekerja tetapi senantiasa berusaha memaksimumkan pulangan hasil daripada setiap usaha yang dilakukan. Jika terdapat kelapangan, mereka lebih suka menghabiskan masa tersebut dengan penasihat percukaian atau pegawai perundangan peribadi. Hal ini membolehkan mereka mengkaji kaedah terbaik untuk meminimumkan kadar pembayaran cukai dan mengenal pasti ruang yang boleh diperbaiki dalam perniagaan, agar mereka tidak terdedah kepada tindakkan undang – undang dari mana – mana pihak pada kemudian hari.




Masa lapang bersama keluarga pula lazimnya dihabiskan dengan mengunjungi sahabat handai dan saudara mara atau melawat ke lokasi awam seperti muzium, zoo dan taman permainan. Semua aktiviti ini dipilih, kerana menelan belanja yang minimum, di samping mampu merapatkan hubungan yang mungkin akan menjadi jaringan perniagaan di kemudian hari. Mereka menjauhi kasino, kelab – kelab elit dan tempat yang seumpamanya, kerana ia menelan belanja besar dan secara purata, mereka melakukan dua tahun sekali percutian ke luar negara.




Mereka juga sangat percaya kepada kuasa pendidikan, maka tidak hairanlah 90 peratus daripada mereka memiliki ijazah dan lebih 50 peratus daripada mereka mempunyai ijazah lanjutan. Mereka melabur dalam jumlah yang besar ke atas pendidikan anak – anak. Mereka percaya permintaan terhadap jawatan perakaunan, penasihat perundangan dan percukaian akan bertambah kerana pertumbuhan golongan yang berstatus jutawan semakin meningkat. Mereka mahu anak mereka bekerja dengan para jutawan tersebut sebagai penasihat dan bukan bekerja dengan firma – firma biasa.





Kebanyakan jutawan hidup di bawah tahap pendapatan mereka dan melaburkan kembali 15 hingga 20 peratus daripada jumlah hasil pendapatan tahunan yang diperoleh. Mereka tidak menggunakan lebihan pendapatan untuk membeli barangan berjenama mewah khususnya kenderaan. Hanya sebilangan kecil daripada mereka yang memandu kenderaan import model terkini, kebanyakan yang lain cuma menggunakan model tempatan yang telah berusia lebih daripada sepuluh tahun. Menurut cara berfikir salah seorang daripada 10 orang terkaya di Malaysia Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari, kenderaan cumalah satu medium untuk membawa seseorang bergerak dari titik A ke titik B dan beliau cuma memandu Perdana V6, sedangkan jumlah kekayaannya dianggarkan berjumlah lebih daripada 4.29 bilion ringgit.





Namun begitu, kebanyakan orang beranggapan seorang jutawan adalah mereka yang memandu kereta import model terbaru, tinggal di kawasan perumahan mewah, beristeri lebih, memilih para jelitawan atau selebriti sebagai pasangan dan kerap bercuti keluar negara.





Walau bagaimanapun, itu semua bukanlah ukuran mutlak bagi menentukan seseorang berstatus jutawan atau tidak. Jutawan dalam takrif sebenar ialah apabila semua aset seseorang di tolak dengan semua jumlah liabilitinya dan jika masih berbaki sejuta ringgit atau lebih, maka barulah beliau layak bergelar jutawan. Kebanyakan jutawan mampu meneruskan cara hidup mereka untuk tempoh sepuluh hingga dua belas tahun walaupun memilih untuk tidak bekerja. 94 peratus penduduk dunia tidak menjadi jutawan kerana mereka telah menyalah tafsirkan takrif sebenar jutawan dan dengan itu, gagal untuk berfikir seperti seorang jutawan.

Titisan Nurani,
Samuel Sila @ www.sila-silagerasibansa.blogspot.com

BOIKOT PRODUK ISRAEL !!

Thursday, January 29, 2009



Ingatlah wahai sahabat sekalian, setiap ringgit yg kita gunakan utk membeli produk Israel akan menjadi peluru utk membunuh saudara kita di Palestin! Walaupun boikot bukanlah strategi paling berkesan utk menentang Israel, namun sekurang-kurangnya kita telahpun berusaha utk membantu saudara kita daripada kekejaman Israel Laknatullah. Marilah kita sama-sama memboikot produk Israel!

Informasi Terkini Bahagian Akademik UPSI

Sunday, January 25, 2009

1) Borang posting

Untuk makluman mahasiwa/i, borang posting hanya boleh diisi selepas tamat praktikum, iaitu apabila pihak akademik telah menghantar surat tamat pengajian. Ini disebabkan, data hanya akan dihantar ke pihak Kementerian Pelajaran Malaysia selepas mendapat kelulusan senat. Pengisian borang posting adalah secara online di website KPM.

2) ROS (Rancangan Orientasi Sekolah)

Mesyuarat bahagaian akademik bersama dengan unit latihan mengajar pada 21hb Januari 2008, telah menetapkan ROS hanya perlu dibuat sekali sahaja sepanjang sesi pengajian di UPSI. Sehubungan dengan itu, bagi mahasiswa/i yang telah membuat ROS 1 (di sekolah rendah) tidak perlu lagi untuk membuat ROS 2. Namun yang demikian, bagi mahasiswa/i yang masih belum membuat ROS, mereka perlu membuatnya di sekolah menengah dan boleh dibuat bila-bila masa sahaja dalam tempoh 2 minggu semasa cuti. Masa paling akhir ROS adalah 2 minggu sebelum pergi latihan mengajar. 5% daripada markah ROS menyumbang kepada markah latihan mengajar. Perubahan tertakluk pada fakulti.

3) Study week

Exco Akademik & Kerjaya MPP UPSI telah menghantar surat permohonan ’study week’ kepada Timbalan Naib Cancelor Hal Ehwal Akademik. Namun demikian, TNCA masih berada di luar negara (Iran) atas urusan kerja sehingga 1 februari 2009. Pihak Exco Akademik & Kerjaya MPP UPSI akan memaklumkan perkembangannya daripada masa ke semasa.


Sekian Terima Kasih

Abu Hanifah Haris,
YDP PERMAS Sesi 2008/09

Palestin: Antara Emosi dan Realiti

Saturday, January 17, 2009

RAMAI daripada kita sudah bersembahyang hajat, menunjuk perasaan, menderma, menulis puisi dan membuat deklarasi.

Semuanya atas nama kemanusiaan dan simpati dengan rakyat Palestin yang dibom, ditembak dan diletupkan. Berlinang dan bercurahanlah air mata kita.

Jadi pastinyalah kita marah kalau saya unjurkan bahawa perjuangan Palestin adalah perjuangan sia-sia, perjuangan yang kecewa dan perjuangan yang penuh pura-pura.

Pedih dan menyakitkan hati. Tetapi itulah realitinya sejak penubuhan negara Israel – Medinat Yisra’el – melalui rampasan ke atas British Mandated Palestine oleh pengganas Yahudi pada 14 Mei, 1948.

Sejak itu jugalah jentera propaganda dan peperangan Yahudi bekerja lebih masa mencuba menghalalkan rampasan mereka ke atas Palestin.

Pada mulanya mereka mendakwa kononnya mereka membebaskan bumi Palestin daripada penjajahan Inggeris dan Liga Bangsa-Bangsa.

Izinkan saya sedikit ruang dan masa untuk mengemukakan fakta-fakta berikut untuk pertimbangan pembaca sekalian:

1. Negara-Negara Arab yang berjiran dengan Israel serta merta melanggar negara itu dan mengulanginya beberapa kali dengan mengalami kekalahan teruk;

2. Akhirnya semakin banyak negara Arab sama ada mengiktiraf Israel dan menandatangani perjanjian damai dengannya atau tidak lagi memberi keutamaan kepada isu Palestin;

3. Melalui perang psikologi, Israel dan penyokong Yahudinya dari seluruh dunia menyusup masuk dan menguasai politik, ekonomi serta media massa Amerika Syarikat (AS);

4. Israel dan gerakan Yahudi antarabangsa berjaya menjadikan Amerika boneka, pelindung dan pembiayanya;

5. Menurut John J. Mearsheimer dan Stephen M. Waltdalam tulisan mereka berjudul “The Israel Lobby and U. S. Foreign Policy” (Lobi Israel dan Dasar Luar Amerika Syarikat), Israel menerima bantuan langsung bernilai AS$3 bilion (RM10.62 bilion) setiap tahun atau 20 peratus daripada bantuan luar AS;

6. Setiap orang penduduk Israel menerima subsidi daripada AS bernilai AS$500 (RM1,770) setahun walaupun Israel adalah negara perindustrian yang sama pendapatan per kapitanya dengan Korea Selatan dan Sepanyol;

7. Menurut Perkhidmatan Penyelidikan Kongres Amerika, bantuan kepada Israel bagi tahun 2007 berjumlah tidak kurang daripada AS$2.5 bilion (RM8.85 bilion). Ini tidak termasuk AS$138 juta (488.5 juta) bagi projek pertahanan bersama peluru berpandu dan jaminan hutang sebanyak AS$$1.4 bilion (RM4.95 bilion);

8. Purata AS memberikan AS$6.8 juta (RM24 juta) kepada Israel setiap hari berbanding AS$300,000 (RM1.06 juta) kepada Palestin pada tahun 2007;

9. Janji Amerika membantu Palestin adalah janji kosong sejak daripada tertubuhnya Medinat Yisra’el pada tahun 1948;
10. President Truman dalam ucapannya pada 28 Oktober, 1948 – lima bulan selepas rampasan bumi Palestin oleh Yahudi -- antara lain, berkata: “Adalah tanggungjawab saya memastikan dasar kita di Israel menepati dasar kita di seluruh dunia; kedua adalah hasrat saya membantu membina negara Palestin yang kuat, makmur, bebas, merdeka dan demokratik. Ia perlu cukup luas, cukup bebas dan cukup kuat untuk membolehkan rakyatnya berdikari dan selamat.”

[ “It is my responsibility to see that our policy in Israel fits in with our policy throughout the world; second, it is my desire to help build in Palestine a strong, prosperous, free and independent democratic state. It must be large enough, free enough, and strong enough to make its people self-supporting and secure.”]

11. Dan bolehkah Barack Obama diharap untuk mengatasi pembohongan AS selama ini? Pertimbangkan kenyataan beliau ketika kempen pilihan raya Presiden baru lalu yang berbunyi: “Kita jangan sekali-kali mencuba mengatakan apa yang terbaik untuk orang Israel dan keselamatan mereka dan tidak seorang pun Perdana Menteri Israel yang patut diseret ke meja perundingan...”

[We should never seek to dictate what is best for the Israelis and their security interests" and that no Israeli prime minister should ever feel "dragged" to the negotiating table...];

12. Yahudi mempunyai perwakilan yang kuat dalam politik nasional AS. Pada bulan Jun tahun lalu (2008), 7.8 peratus Ahli Kongres adalah Yahudi walaupun penganut agama Yahudi di AS dianggarkan hanya 1.4 peratus daripada penduduknya;

13. Kalau AS menjadi boneka, pelindung dan pembiaya Israel, banyak negara Islam, khasnya negara-negara Arab, menjadi boneka dan pak turut AS;

14. Dari mula lagi banyak negara Arab tidak mahu Hamas berjaya di Palestin. Hamas adalah singkatan kepada Harakat al-Muqāwamat al-Islāmiyyah atau Pergerakan Penentangan Islam yang terdiri daripada pengikut Sunnah. Ia ditubuhkan pada tahun 1987 oleh Sheikh Ahmed Yassin, Abdel Aziz al-Rantisi dan Mohammad Taha yang berupa penggiat Ikhwanul Muslimin cawangan Palestin pada permulaan gerakan Intifadah pertama;

15. Oleh sebab Hamas diasaskan atas landasan Ikhwanul Muslimin maka ia dicurigai dan ditolak oleh banyak negara Arab. Ikhwanul Muslimin diharamkan atau dikawal kegiatannya di banyak negara Arab;

16. Ikhwanul Muslimin atau Persaudaraan Muslim adalah organisasi Muslim yang diasaskan oleh Hassan al Banna di Mesir pada tahun 1928 berikutan keruntuhan Empayar Ottoman;

17. Pada mulanya Ikhwanul Muslimin menyokong kerajaan sekular Presiden Gamal Abdel Nasser tetapi apabila seorang anggotanya dituduh membunuh Perdana Menteri Mesir, Mahmud Fahmi Nokrashi, pada 28 Dis. 1948, pertubuhan itu diharamkan dan Al Banna sendiri dibubuh oleh agen-agen perisik kerajaan pada bulan Februari tahun berikutnya;

18. Majoriti negara-negara Arab tidak demokratik. Mereka bimbang jika kerajaan Hamas berjaya di Palestin mereka akan menghadapi tekanan daripada rakyat jelata mereka sendiri agar memperkenalkan demokrasi;

19. Negara-negara Arab sendiri terus bercakaran dan serentak itu menjadi tali barut kepada hegemoni AS di Asia Barat seperti yang terserlah dengan sokongan mereka terhadap serangan dan penaklukan AS ke atas Iraq;

20. Akhir sekali, politik Palestin sendiri kucar-kacir akibat ketidaksepaduan sokongan negara-negara Arab dan persengketaan di kalangan pelbagai kelompok agama di Asia Barat, khasnya pergeseran antara pengikut Sunnah dan Syiah.

Bukan tujuan saya melemahkan semangat juang, sokongan dan simpati kita kepada rakyat Palestin. Tetapi fakta-fakta di atas tidak memberikan keyakinan bahawa masalah negara dan rakyat Palestin boleh diselesaikan dengan mudah dan segera.

Untuk mencapai persetujuan mengenai gencatan senjata pun susah. Bayangkan untuk mencapai keamanan yang berkekalan.

Malah, setiap kali bom Israel membunuh orang Palestin dan pengebom berani mati Hamas membunuh orang Yahudi, setiap kali itu jugalah satu generasi baru pejuang di lahirkan.

Editor: A Kadir Jasin