Pages

JALAN KEDAMAIAN YANG SAMAR.....

Friday, January 9, 2009


ONE WORLD...ONE SOUL.....SAVE PALESTINE!!!!

Tatkala dunia hanya mampu melihat dan merintih simpati terhadap masyarakat Palestin, sedar ataupun tidak itulah lambang kelemahan umat Islam di era milennium ini. Perasaan marah terhadap rejim Israel begitu membuak-buak sehinggakan seluruh dunia menyaksikan gelombang kemarahan umat Islam dan masyarakat dunia melalui pelbagai kaedah untuk menzahirkan bantahan dan kutukan terhadap penyembelihan manusia paling kejam dewasa ini. Demonstrasi, kempen boikot, solat hajat dan pelbagai lagi kaedah digunakan oleh umat Islam bagi membantah kekejaman rejim Zionis terhadap masyarakat Palestin manakala kutipan derma, penghantaran bantuan, dan doa tanda perkongsian masyarakat Islam dan dunia terhadap masyarakat Palestin ketika ini.



Namun sedar ataupun tidak, peristiwa dan fenomena ketika ini merupakan skrip yang sama melanda umat Islam dalam berhadapan situasi konflik kemanusiaan terburuk pada hari ini. Kesengsaraan, kesedihan, kematian dan pelbagai lagi perasaan yang mengguris hati nurani kita dalam melihat dan menyaksikan nasib dan situasi masyarakat Palestin ketika ini merupakan perkara yang sama tanpa ada penamatnya buat masyarakat Palestin. Konflik yang sudah berlarutan sejak sekian lama ini sudah meragut ribuan nyawa umat Islam di Palestin. Namun, penamat kepada konflik ini tidak pernah ada dan selama itulah ketidakadilan dan kekejaman Israel di lalui keseorangan oleh masyarakat Palestin. Apa yang boleh kita renungi dan insafi adalah, dimanakah kekuatan sebenar umat Islam ketika ini? Dengan kekuatan dan bilangan penganut yang ramai, umat Islam dewasa ini boleh diibaratkan seperti seorang peninju yang berbadan sasa dan mempunyai tenaga yang kuat tetapi setiap kali bertinju tangannya seolah-olah dirantai, mudah saja diperkotak-katikkan oleh lawannya yang bertubuh kecil. Kelebihan yang dimiliki itu langsung tidak berguna tatkala mengahadapi konflik ini.



Penduduk Arab khususnya dan umat Islam misalnya amat jauh jurang bilangannya andai dibandingkan dengan bilangan penduduk Yahudi, namun situasi terkini seperti contoh yang saya nyatakan tadi. Suara, saranan, dan bantahan umat Islam hanya dipandang sepi oleh Israel yang bilangan penduduknya amat kecil jika dibandingkan dengan bilangan umat Islam. Inilah permasalahan kita, setiap kali umat Islam Palestin dihentam habis-habisan oleh Isarel skripnya adalah sama. Bantahan, saranan mahupun gesaan oleh umat Islam pada hari ini, kesan akhirnya adalah sama iaitu gagal dan tidak mampu menghalang kerakusan Israel membunuh dan menyeksa umat Islam Palestin.



Ya! kita mempunyai Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC), kita mempunyai Liga Arab, kita mempunyai Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) sebagai wadah untuk menghentikan kebiadapan dan keangkuhan Israel dalam situasi ini. Namun kesemua entiti itu tidak ada apa yang istimewa jika dibandingkan keistimewaan perlindungan dan sokongan Amerika Syarikat terhadap Israel. Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) misalnya mempunyai jumlah keanggotaan yang ramai tetapi tidak mempunyai apa-apa untuk menghentikan kezaliman dan kerakusan Israel ini. Begitu juga Liga Arab yang dianggotai oleh negara Arab yang majoriti rakyatnya beragama Islam juga tidak mampu untuk menyekat kezaliman dan kebiadapan Israel ini. Begitu juga dengan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang antara fungsinya untuk menjaga keamanan dan menghalang pencerobohan mana-mana negara terhadap negara lain langsung tidak berkesan dalam mengendalikan isu ini.



Selain itu, Amerika Syarikat yang menjadi orang tengah dalam menghentikan konflik ini sudah terang lagi bersuluh bersikap berat sebelah terhadap Israel. Buktinya, pengisytiharan doktrin negroponte oleh Amerika Syarikat untuk menghalang sebarang resolusi atau tindakan terhadap Israel menjadi lambang kecelaruan dalam penyelesaian konflik ini. Hasilnya, sebanyak lebih daripada 30 kali Amerika Syarikat mengenakan kuasa veto terhadap setiap resolusi untuk mengutuk dan mengenakan hukuman terhadap setiap jenayah yang dilakukan oleh Israel terhadap bangsa Palestin. Soalnya, dimanakah lagi payung atau tempat bergantung buat umat Islam di Palestin untuk berlindung daripada kekejaman Israel ini?. Dalam doa rintihannya, Assyahid Syeikh Ahmad Yassin pernah mengeluh tentang bantuan dan sokongan negara-negara Arab dan umat Islam dalam membantu saudara mereka di bumi Palestin.



Contoh terkini, negara-negara Arab seperti Jordan, Mesir dan Syria tidak mampu untuk menghulurkan sebarang bentuk perlindungan buat saudara seagama mereka disana. Paling dikesali tindakan Mesir yang seolah-olah bersekongkol dengan Israel dalam menyeksa dan menghentam masyarakat Palestin. Penutupan sempadan misalnya membuktikan kedangkalan negara yang mempunyai bilangan penduduk yang ramai beragama Islam setiap kali berhadapan dengan tekanan Israel. Apa yang mampu dilakukan adalah usaha untuk mewujudkan gencatan senjata dan menganjurkan perjanjian damai yang nyata bersifat diatas kertas kosong semata-mata. Buktinya, lebih daripada 11 perjanjian damai telah ditandatangani antara kedua belah pihak ini, namun konflik ini tetap tidak menampakkan jalan penamatnya. Terkini, Sidang damai Annapolis yang melibatkan perjanjian damai antara kedua belah pihak ini menjadi koleksi terbaru kegagalan rundingan damai selepas perjanjian-perjanjian sebelum ini menemui kegagalan. Perjanjian Oslo i, Oslo ii, Kem David dan banyak lagi menjadi bukti keangkuhan dan penipuan Israel dalam menghentikan penindasan dan penganiayaan terhadap penduduk Palestin.



Demikianlah antara drama sedih dan tragis yang dihidangkan kepada kita dalam menyaksikan konflik berdarah ini. Oleh itu, umat Islam seharusnya kembali kepada al-Quran dan memenuhi tuntutan agama dalam membina kembali kekuatan yang sebelum ini ditunjukkan oleh kuasa umat Islam seperti keagungan dan kekuatan zaman Nabi Muhammad, zaman pemerintahan Khulafa` Arrasyidin, Empayar Abbasiyyah dan Umayyah. Tidak ada jalan lain buat kita untuk menghentikan kekejaman berdarah keatas saudara kita di Palestin seandainya kekuatan kita tidak dikembalikan separas kekuatan penganut yang ada. Kembalilah kita ke arah landasan yang sebenar dan jangan biarkan umat mulia ini diperkotak-katikkan sesuka hati oleh pihak musuh. Sambil itu, marilah kita berdoa ke hadrat Ilahi moga nasib dan situasi saudara kita di Palestin ketika ini mendapat pembelaan daripada-Nya. Wassalam.


EDITOR: CAHAYA DARI LORONG SUFI
BIRO PENERBITAN DAN DOKUMENTASI
PERMASUPSI

0 Komen: