Pages

MEMORI KEJOHANAN ANTARA FAKULTI (KESAFT 09)

Monday, February 16, 2009

Bersama sorakan penonton dan semangat berpasukan yang kuat, pasukan futsal yang dihantar oleh Persatuan Mahasiswa Sejarah telah berjaya menempa kejayaan memenangi Kejohanan Antara Fakulti 2009 (KESAFT) yang berakhir pada 15 Februari semalam. Pasukan PERMAS menggunakan nama Kuweng Boy menggabungkan pemain senior dan junior berjaya melangkah ke final dan seterusnya memenangi perlawanan tersebut dengan 1-0. Dibarisi oleh Izzat, Farizal, Essami, Naimmi, Angah, Faizal, Paijan, Firdaus dan Budin menunjukkan persembahan yang konsisten sepanjang kejohanan tersebut. Memenangi semua perlawanan ketika dalam kumpulan seterusnya melangkah ke pusingan kedua dan suku akhir. Menerima tentangan yang sengit dalam separuh akhir apabila sekadar seri 1-1 dengan pasukan Larom daripada Pendidikan Moral. Namun, Kuweng Boy berjaya menang dalam penentuan penalti. Pada final tersebut, mereka berhadapan dengan Pasukan Geografi daripada Pendidikan Geografi. Kuweng Boy berjaya memperolehi gol pada babak-babak terakhir melalui rembatan Naimmi.



Sementara itu, PERMAS turut memperlihatkan peningkatan dalam beberapa acara yang turut disertainya seperti bola tampar dan badminton. Pasukan bola tampar terpaksa berpuas hati di tempat keempat selepas tewas kepada Pendidikan Sekolah Rendah (PSR) dengan kiraan 27-25, 22-25 dan 8-15. Pasukan bola tampar PERMAS diwakili oleh Zahran, Kohar, Syarif, Syer, Azid, Izzat, Shahrul Reza dan Faizal.



Pasukan badminton turut menjadi tumpuan dalam kejohanan tersebut apabila regu perempuan PERMAS telah berjaya melangkah ke suku akhir. Diwakili oleh Fiza dan Syiqah, regu badminton perempuan meneruskan cabaran namun telah tewas kepada pasukan daripada Pendidikan Sains Sukan. Namun begitu, kesungguhan dan semangat daripada pasukan badminton PERMAS tidak dapat dipertikaikan lagi apabila berhempas pulas untuk menundukkan lawannya ketika pusingan kedua. Manakala regu badminton lelaki yang diwakili oleh Sabri terpaksa berpuas hati apabila tewas ketika melalui pusingan kedua.



Boleh dikatakan bahawa pasukan yang dihantar oleh PERMAS memperolehi pencapaian yang menakjubkan. Hal ini kerana komitmen dan semangat berpasukan yang ditonjolkan oleh setiap peserta amatlah menggalakkan. Justeru itu, seharusnya penglibatan dalam kejohanan ini mendapat sokongan daripada semua pihak pada masa akan datang. Penghargaan dan ucapan tahniah kepada semua MT PERMAS yang turut menyumbang dan memberi galakan kepada kejohanan ini. Eddy, Iza, Fiza, Syiqah, Norizan dan Abu Hanifah, terima kasih atas kerjasama dan sokongan anda. Semoga keikhlasan anda memperoleh ganjaran pahala daripada Allah. Tidak ketinggalan kepada peserta dan juga individu yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam memastikan kejayaan dalam penyertaan KESAFT ini.

Perjalanan adalah sebaik-baik guru...

Saturday, February 14, 2009

Dalam kesibukan kita mengharungi kehidupan sebagai pelajar universiti, mungkin ada masa-masanya kita menhadapi tekanan ataupun stress. Kata orang, hidup ini penuh warna-warni. Hidup tanpa cabaran bukan hidup namanya. Walaupun kita selalu mengharapkan hidup yang damai tetapi pasti keadaannya tidak begitu. Ada harinya kita sampai suatu selekoh masalah dan perlu memperlahankan sedikit kelajuan hidup. Ada ketikanya kita jatuh tersungkur tetapi perlu bangun dan melangkah semula. Walau apa cabaran sekalipun, hidup ini perlu diteruskan. Hanya mereka yang kuat, gigih dan tidak berputus asa yang boleh sampai ke garis penamat dengan kejayaan. Kita selalu bercakap tentang kejayaan, tetapi bagaimana pula dengan kegagalan?? Adakah kegagalan itu tidak mempunyai nilainya dalam hidup?? Bagaimanakah kita dapat membentuk hati sekeras waja untuk menghadapi tekanan terutama dalam hidup serba mencabar hari ini.
Dalam menghadapi tekanan dalam diri sebaiknya kita berdoa kepada Allah Taala. Mintalah kepadaNya supaya ketenangan yang dicari itu akan kita jumpa. Terima hakikat bahawa hidup ini memang begitu! Tidak ada hidup tanpa cabaran, masalah ataupun kegagalan. Jika nabi dan rasul pun diberi ujian inikan pula kita manusia biasa yang penuh salah silap. Ingatlah bahawa Tuhan itu Maha Adil dan Penyayang. Apabila ditimpa masalah pasti ada hikmah yang tersembunyi. Terpulang kepada kita untuk memahami di manakah ia berada. Tidak ada masalah yang terlalu sukar sehingga mustahil untuk diatasi. Tidak ada manusia di atas muka bumi ini yang dapat mendakwa dia memikul masalah ataupun bencana paling hebat. Jika masalah anda berat, pasti ada orang lain yang mempunyai masalah sepuluh kali ganda lebih teruk. Ada ketikanya kita perlu melihat penderitaan orang lain dan insaf bahawa betapa ‘OK’nya kita. Masalah yang datang bukan untuk diratapi tetapi untuk menduga kekuatan diri. Semakin kental semangat, semua masalah dapat diatasi. Selesaikan masalah satu persatu. Kadang kala dalam hidup ini, masalah itu datang umpama sebuah gunung. Jangan bermimpi kita dapat menyelesaikannya sekali gus. Berfikirlah secara rasional dan tenang. Selesaikan masalah itu satu persatu. Tarahlah gunung masalah itu sedikit demi sedikit sehingga menjadi bukit. Teruskan sehingga menjadi busut kemudian rata dan hiasilah sehingga menjadi taman. Elakkan daripada terlalu memendam perasaan. Manusia itu memang dijadikan dengan memiliki pelbagai perasaan. Itu semua tidak dijadikan dengan sia-sia dan tentu ada peranannya. Perasaan-perasaan ini adalah senjata untuk kita hadapi masalah dan tekanan hidup. Apa-apa pun nikmatilah hidup di alam kampus ini dengan sepuasnya. Menetapkan matlamat itu adalah peralatan untuk berjaya. Namun, matlamat itu hanya umpama destinasi. Jangan terlalu fanatik dengan matlamat itu sehingga lupa bahawa perjalanan hidup ini juga perlu dinikmati. Adalah bagus anda menetapkan matlamat untuk mencapai PNGK 4.0 setiap semester. Namun, ini tidak bermakna anda tidak membuat kerja lain selain belajar dan membaca buku. Bersukan, bersosial, berpesatuan, dan nikmatilah hidup di menara gading kerana kenangannya nanti tidak akan berulang semula. Dunia kampus bukan untuk menjadi ulat buku semata-mata. Pencapaian PNGK 4.0 itu hanya nombor. Hidup ini terlalu mahal untuk diukur sekadar dengan nombor.

-someonewhocansee-

Coretan Sepanjang Gerai Jualan PERMAS!!!

Sunday, February 8, 2009

Salam perpaduan buat semua….alhamdulillah berkat kesungguhan kita bersama dapat jua kita menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan untuk mencari sumber kewangan alternatif untuk menampung perjalanan aktiviti persatuan. Karnival Hari Terbuka KHAR 09 yang berakhir semalam menjadi medan pertama buat PERMAS untuk membuka gerai jualan. Program gerai jualan ini diketuai oleh saudara Newman Orjunal dan juga saudara Liry Pahang Anyi selaku MT bagi Biro Tugas-tugas Khas dan Biro Keusahawanan dan Ekonomi. Disamping itu, sebagai lambang dan semangat kerjasama yang ingin diterapkan dalam aktiviti bepersatuan, turut membantu mengerah tenaga adalah terdiri daripada saudara Eddy Safbree, Khairul Azhar, Pak Lah, Muiz, Ijat, Samuel, Rizal dan saudari Syaiha, Izza, Nuhaa, Mai, Fiza, Syiqah, Siti dan beberapa orang pelajar daripada semester 4,3 dan 2.



Tahniah dan jutaan terima kasih daripada seluruh warga PERMAS atas semangat dan dedikasi anda untuk menjayakan dan membantu gerai jualan ini. Sesungguhnya orang-orang yang ikhlas dalam pekerjaannya imbuhannya adalah daripada Allah Taala. Walaupun bekerja tanpa sebarang imbuhan wang, komisyen, bonus atau apa-apa yang berkaitan namun semangat dan dedikasi kerja yang ditunjukkan adalah amat membanggakan. Walaupun tugasan `assignment` perlu diusahakan namun kerana semangat untuk menyertai aktiviti bepersatuan pembahagian masa dapat mereka lakukan dengan sebaiknya. Diharapkan semangat dan dedikasi yang ditunjukkan mereka dapat dituruti oleh semua ahli PERMAS tanpa mengira status anda sebagai apa, tanpa mengira penat dan lelah, tanpa mengira kepentingan diri sendiri tetapi kerana kepentingan persatuan semua itu dapat diketepikan.





Marilah kita bersama-sama bersatu hati memberikan komitmen yang cukup tinggi buat aktiviti persatuan kerana kita harus ingat, teman-teman kita yang bertungkus lumus dalam menjayakan aktiviti persatuan sama keadaan dan situasinya dengan kita. Korbankanlah kepentingan peribadi melebihi kepentingan sejagat kerana seperti yang telah dinyatakan tadi, teman-teman kita juga ada kepentingan masing-masing yang perlu diusahakan. Sama juga keadaannya seperti kita. Percayalah! Bepersatuan tidak akan merugikan kita seandainya kita tahu untuk bekerjasama dan mengurus masa dengan sebaik mungkin. Setiap kali kita menjalankan aktiviti persatuan dan memenuhi selera anda untuk melihat persatuan menjalankan aktiviti dengan sekerap mungkin, amat malanglah sekiranya anda mengambil sikap acuh tak acuh membiarkan teman-teman anda terkontang kanting membantu melancarkan aktiviti persatuan. Marilah kita bersama-sama memeriahkan aktiviti persatuan kerana amat rugilah anda sekiranya gah dengan kegemilangan dalam akademik namun cetek dan daif dalam aktiviti di luar akademik.



Seharusnya anda mengerti tugas anda sebagai bakal pendidik di sekolah nanti bukanlah mengajar anak bangsa didalam kelas semata-mata, tetapi perlu diingat, anda akan berhadapan dengan pelbagai aktiviti diluar bilik darjah seperti menguruskan rombongan pelajar sekolah, menjadi penasihat kepada kelab dan persatuan pelajar, dan bermacam-macam aktiviti yang menuntut pengalaman anda dalam mengurus dan menggerakkan sebarang aktiviti. Tatkala itu, akan teringatlah anda akan kemalasan dan kelayuan anda selama empat tahun di UPSI ini umpama burung sejuk yang menyepikan diri daripada sebarang aktiviti diluar bilik darjah atau dengan kata mudahnya aktiviti bepersatuan. Seandainya anak-anak murid anda membandingkan anda dengan guru-guru yang lain yang lebih kreatif dan dinamik daripada anda, jangan salahkan UPSI, jangan salahkan orang lain atas ceteknya, daifnya pengalaman anda dalam mengurus dan melibatkan diri dalam sebarang aktiviti di luar bilik kuliah tetapi salahkanlah diri anda sendiri.



Gunakanlah peluang dan masa lapang anda untuk pengisian dan penglibatan dalam gerak kerja yang berfaedah buat kesenangan anda di sekolah nanti. Ingatlah! Pengalaman dan ilmu adalah suatu perkara yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit tetapi melalui usaha dan minat untuk mendapatkannya. Akhir kalam, terima kasih kepada teman-teman dan warga PERMAS yang memberikan sokongan moral dan modal sepanjang gerai jualan PERMAS berlangsung. Ingatlah! Gerai jualan kita bukanlah untuk mencari keuntungan semata-mata tetapi gerai jualan ini diharapkan dapat dijadikan medium untuk kita lebih bekerjasama, mengenali antara satu sama lain dan diharapkan kita beroleh manfaat dan pengalaman berguna sepanjang gerai jualan berlangsung. Gelak tawa, gurau senda, bantu membantu itulah manisnya buat kenangan kita bersama.


John F. Kennedy: ” Jangan tanya apa sumbangan negara kepada kamu....tetapi tanyalah apa sumbangan kamu kepada negara...”


Editor:
Dari Ruangan Kecil Al-Baehaqie
Biro Penerbitan dan Dokumentasi
PERMAS 2008/09

PERISYTIHARAN CUTI UMUM NEGERI

Sunday, February 1, 2009

Bagi menjulang serta memartabatkan kegemilangan upacara perayaan sambutan jubli Perak sempena 25 tahun pemerintahan kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, maka dengan ini kerajaan Pakatan Rakyat negeri Perak telah bersetuju dan meluluskan pengisytiharan tarikh 3 Februari 2009 (Selasa) bersamaan 7 Safar 1430H sebagai cuti umum bagi seluruh jajahan takluk negeri Perak Darul Ridzuan.

Upacara penganugerahan bintang tertinggi AZLANII yang akan berlangsung pada 3 Feb. 2009 jam 10.00 pagi, di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar turut mendapat liputan langsung. Dengan cuti umum ini, akan memberi peluang kepada seluruh rakyat Perak khususnya bagi mengikuti siaran langsung tanda memperingati tarikh tersebut.

Maka saya mengajak seluruh rakyat Perak mengambil kesempatan cuti umum ini untuk merayakan Jubli Perak bersama-sama kerajaan negeri. Berbagai-bagai majlis dan program telah diatur bagi memperingati sambutan jubli Perak ini. Kemuncaknya ialah pada 14 Feb. 2009 yang mana semua DYMM Tuanku Sultan setiap negeri termasuk TYT Sabah, Melaka, Pulau Pinang dan Sarawak) , DYMM Sultan Brunei dan pemimpin negara akan berada di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar bagi satu upacara gemilang.

Sama-samalah kita berdoa agar Allah SWT melindungi kebawah DYMM Paduka Sri Sultan Perak dan Permaisuri serta seluruh kerabat diraja dikurniakan kesihatan, keampunan serta keadilan dalam memerintah negeri Pereak DR yang kita cintai ini.

Posted by Dato' Seri Ir. Haji Mohammad Nizar Jamaluddin