Pages

Coretan Sepanjang Gerai Jualan PERMAS!!!

Sunday, February 8, 2009

Salam perpaduan buat semua….alhamdulillah berkat kesungguhan kita bersama dapat jua kita menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan untuk mencari sumber kewangan alternatif untuk menampung perjalanan aktiviti persatuan. Karnival Hari Terbuka KHAR 09 yang berakhir semalam menjadi medan pertama buat PERMAS untuk membuka gerai jualan. Program gerai jualan ini diketuai oleh saudara Newman Orjunal dan juga saudara Liry Pahang Anyi selaku MT bagi Biro Tugas-tugas Khas dan Biro Keusahawanan dan Ekonomi. Disamping itu, sebagai lambang dan semangat kerjasama yang ingin diterapkan dalam aktiviti bepersatuan, turut membantu mengerah tenaga adalah terdiri daripada saudara Eddy Safbree, Khairul Azhar, Pak Lah, Muiz, Ijat, Samuel, Rizal dan saudari Syaiha, Izza, Nuhaa, Mai, Fiza, Syiqah, Siti dan beberapa orang pelajar daripada semester 4,3 dan 2.



Tahniah dan jutaan terima kasih daripada seluruh warga PERMAS atas semangat dan dedikasi anda untuk menjayakan dan membantu gerai jualan ini. Sesungguhnya orang-orang yang ikhlas dalam pekerjaannya imbuhannya adalah daripada Allah Taala. Walaupun bekerja tanpa sebarang imbuhan wang, komisyen, bonus atau apa-apa yang berkaitan namun semangat dan dedikasi kerja yang ditunjukkan adalah amat membanggakan. Walaupun tugasan `assignment` perlu diusahakan namun kerana semangat untuk menyertai aktiviti bepersatuan pembahagian masa dapat mereka lakukan dengan sebaiknya. Diharapkan semangat dan dedikasi yang ditunjukkan mereka dapat dituruti oleh semua ahli PERMAS tanpa mengira status anda sebagai apa, tanpa mengira penat dan lelah, tanpa mengira kepentingan diri sendiri tetapi kerana kepentingan persatuan semua itu dapat diketepikan.





Marilah kita bersama-sama bersatu hati memberikan komitmen yang cukup tinggi buat aktiviti persatuan kerana kita harus ingat, teman-teman kita yang bertungkus lumus dalam menjayakan aktiviti persatuan sama keadaan dan situasinya dengan kita. Korbankanlah kepentingan peribadi melebihi kepentingan sejagat kerana seperti yang telah dinyatakan tadi, teman-teman kita juga ada kepentingan masing-masing yang perlu diusahakan. Sama juga keadaannya seperti kita. Percayalah! Bepersatuan tidak akan merugikan kita seandainya kita tahu untuk bekerjasama dan mengurus masa dengan sebaik mungkin. Setiap kali kita menjalankan aktiviti persatuan dan memenuhi selera anda untuk melihat persatuan menjalankan aktiviti dengan sekerap mungkin, amat malanglah sekiranya anda mengambil sikap acuh tak acuh membiarkan teman-teman anda terkontang kanting membantu melancarkan aktiviti persatuan. Marilah kita bersama-sama memeriahkan aktiviti persatuan kerana amat rugilah anda sekiranya gah dengan kegemilangan dalam akademik namun cetek dan daif dalam aktiviti di luar akademik.



Seharusnya anda mengerti tugas anda sebagai bakal pendidik di sekolah nanti bukanlah mengajar anak bangsa didalam kelas semata-mata, tetapi perlu diingat, anda akan berhadapan dengan pelbagai aktiviti diluar bilik darjah seperti menguruskan rombongan pelajar sekolah, menjadi penasihat kepada kelab dan persatuan pelajar, dan bermacam-macam aktiviti yang menuntut pengalaman anda dalam mengurus dan menggerakkan sebarang aktiviti. Tatkala itu, akan teringatlah anda akan kemalasan dan kelayuan anda selama empat tahun di UPSI ini umpama burung sejuk yang menyepikan diri daripada sebarang aktiviti diluar bilik darjah atau dengan kata mudahnya aktiviti bepersatuan. Seandainya anak-anak murid anda membandingkan anda dengan guru-guru yang lain yang lebih kreatif dan dinamik daripada anda, jangan salahkan UPSI, jangan salahkan orang lain atas ceteknya, daifnya pengalaman anda dalam mengurus dan melibatkan diri dalam sebarang aktiviti di luar bilik kuliah tetapi salahkanlah diri anda sendiri.



Gunakanlah peluang dan masa lapang anda untuk pengisian dan penglibatan dalam gerak kerja yang berfaedah buat kesenangan anda di sekolah nanti. Ingatlah! Pengalaman dan ilmu adalah suatu perkara yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit tetapi melalui usaha dan minat untuk mendapatkannya. Akhir kalam, terima kasih kepada teman-teman dan warga PERMAS yang memberikan sokongan moral dan modal sepanjang gerai jualan PERMAS berlangsung. Ingatlah! Gerai jualan kita bukanlah untuk mencari keuntungan semata-mata tetapi gerai jualan ini diharapkan dapat dijadikan medium untuk kita lebih bekerjasama, mengenali antara satu sama lain dan diharapkan kita beroleh manfaat dan pengalaman berguna sepanjang gerai jualan berlangsung. Gelak tawa, gurau senda, bantu membantu itulah manisnya buat kenangan kita bersama.


John F. Kennedy: ” Jangan tanya apa sumbangan negara kepada kamu....tetapi tanyalah apa sumbangan kamu kepada negara...”


Editor:
Dari Ruangan Kecil Al-Baehaqie
Biro Penerbitan dan Dokumentasi
PERMAS 2008/09

0 Komen: