Pages

Perjalanan adalah sebaik-baik guru...

Saturday, February 14, 2009

Dalam kesibukan kita mengharungi kehidupan sebagai pelajar universiti, mungkin ada masa-masanya kita menhadapi tekanan ataupun stress. Kata orang, hidup ini penuh warna-warni. Hidup tanpa cabaran bukan hidup namanya. Walaupun kita selalu mengharapkan hidup yang damai tetapi pasti keadaannya tidak begitu. Ada harinya kita sampai suatu selekoh masalah dan perlu memperlahankan sedikit kelajuan hidup. Ada ketikanya kita jatuh tersungkur tetapi perlu bangun dan melangkah semula. Walau apa cabaran sekalipun, hidup ini perlu diteruskan. Hanya mereka yang kuat, gigih dan tidak berputus asa yang boleh sampai ke garis penamat dengan kejayaan. Kita selalu bercakap tentang kejayaan, tetapi bagaimana pula dengan kegagalan?? Adakah kegagalan itu tidak mempunyai nilainya dalam hidup?? Bagaimanakah kita dapat membentuk hati sekeras waja untuk menghadapi tekanan terutama dalam hidup serba mencabar hari ini.
Dalam menghadapi tekanan dalam diri sebaiknya kita berdoa kepada Allah Taala. Mintalah kepadaNya supaya ketenangan yang dicari itu akan kita jumpa. Terima hakikat bahawa hidup ini memang begitu! Tidak ada hidup tanpa cabaran, masalah ataupun kegagalan. Jika nabi dan rasul pun diberi ujian inikan pula kita manusia biasa yang penuh salah silap. Ingatlah bahawa Tuhan itu Maha Adil dan Penyayang. Apabila ditimpa masalah pasti ada hikmah yang tersembunyi. Terpulang kepada kita untuk memahami di manakah ia berada. Tidak ada masalah yang terlalu sukar sehingga mustahil untuk diatasi. Tidak ada manusia di atas muka bumi ini yang dapat mendakwa dia memikul masalah ataupun bencana paling hebat. Jika masalah anda berat, pasti ada orang lain yang mempunyai masalah sepuluh kali ganda lebih teruk. Ada ketikanya kita perlu melihat penderitaan orang lain dan insaf bahawa betapa ‘OK’nya kita. Masalah yang datang bukan untuk diratapi tetapi untuk menduga kekuatan diri. Semakin kental semangat, semua masalah dapat diatasi. Selesaikan masalah satu persatu. Kadang kala dalam hidup ini, masalah itu datang umpama sebuah gunung. Jangan bermimpi kita dapat menyelesaikannya sekali gus. Berfikirlah secara rasional dan tenang. Selesaikan masalah itu satu persatu. Tarahlah gunung masalah itu sedikit demi sedikit sehingga menjadi bukit. Teruskan sehingga menjadi busut kemudian rata dan hiasilah sehingga menjadi taman. Elakkan daripada terlalu memendam perasaan. Manusia itu memang dijadikan dengan memiliki pelbagai perasaan. Itu semua tidak dijadikan dengan sia-sia dan tentu ada peranannya. Perasaan-perasaan ini adalah senjata untuk kita hadapi masalah dan tekanan hidup. Apa-apa pun nikmatilah hidup di alam kampus ini dengan sepuasnya. Menetapkan matlamat itu adalah peralatan untuk berjaya. Namun, matlamat itu hanya umpama destinasi. Jangan terlalu fanatik dengan matlamat itu sehingga lupa bahawa perjalanan hidup ini juga perlu dinikmati. Adalah bagus anda menetapkan matlamat untuk mencapai PNGK 4.0 setiap semester. Namun, ini tidak bermakna anda tidak membuat kerja lain selain belajar dan membaca buku. Bersukan, bersosial, berpesatuan, dan nikmatilah hidup di menara gading kerana kenangannya nanti tidak akan berulang semula. Dunia kampus bukan untuk menjadi ulat buku semata-mata. Pencapaian PNGK 4.0 itu hanya nombor. Hidup ini terlalu mahal untuk diukur sekadar dengan nombor.

-someonewhocansee-

0 Komen: