Pages

KISAH PENDAKIAN OBAMA

Sunday, May 3, 2009

SEJAK secara rasmi menjadi Presiden Amerika Syarikat (AS) yang ke-44 pada 20 Januari lalu, figura Barack Obama tidak pernah sunyi daripada diperkatakan oleh seantero dunia.

Kejayaan Obama merubah ‘warna’ White House selepas 232 tahun AS mencapai kemerdekaan, adalah satu pencapaian dan perubahan luar biasa di dalam masyarakat AS.

Obama juga telah membina persepsi yang menyenangkan di kalangan masyarakat antarabangsa, sesuatu yang semakin terhakis terutamanya sewaktu era pemerintahan George W. Bush.

Semua itu dilakukan Obama dalam masa yang sangat singkat, iaitu kira-kira tiga tahun selepas beliau dilantik menjadi Senator Illionis. Justeru, adalah sesuatu yang menarik untuk mendalami apakah kekuatan Obama sehingga berjaya mendapat kepercayaan sedemikian rupa, dan buku ini adalah jawapannya.

Buku dengan tajuk asal The Audicity of Hope ini diterbitkan pada Oktober 2006. Ia dikatakan memberi impak kemenangan yang lebih besar berbanding ucapan dan pidato yang disampaikan oleh Obama.

Rakyat AS yang pada awalnya mahu memberikan undian kepada Hillary Clinton dalam pemilihan calon Presiden yang akan mewakili Parti Demokrat, berubah memilih Obama selepas membaca buku ini.

Selepas diterjemahkan kepada lebih 50 bahasa di seluruh dunia, buku ini akhirnya boleh didapati dalam bahasa Melayu hasil usaha keras sekumpulan panel penterjemah di Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM). Ia dilancarkan oleh Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah baru-baru ini, sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Buku ini sebenarnya lebih kepada sebuah dokumentasi harapan dan hala tuju perjalanan Obama di pentas politik AS.

Ia menyentuh mengenai teori dan gagasan idea bagi merealisasikan impian rakyat AS selari dengan slogan yang didokong oleh Obama iaitu Change: We Can Believe In.

Slogan yang di dalamnya terkandung manifestasi perubahan dan pembaharuan yang dinanti-nantikan oleh kebanyakan rakyat AS.

Judul buku ini sendiri iaitu The Audicity Of Hope adalah lanjutan daripada ucapan pembukaan beliau pada Konvensyen Demokratik pada 2004.

Daripada pidato yang sekitar 20 minit itu, dipanjangkan kepada buku setebal 424 halaman ini.

Tajuk itu juga dipilih Obama berdasarkan khutbah paderi di gereja yang selalu dihadirinya di Chichago.

Obama memulakan buku ini dengan sejarah pendakian beliau dalam bidang politik. Bagaimana beliau berdikit-dikit daripada seorang peguam hak sivil yang berjaya mewakili dewan perundangan Illionis sehinggalah menjadi Senator Illionis.

Pengalaman itu dimulakan oleh Obama ketika beliau masih muda, iaitu baru menjangkau usia 35 tahun.

Begitu juga ketika mengangkat sumpah sebagai Senator Illionis, Obama baru berusia 44 tahun, iaitu umur yang sangat muda untuk seorang ahli politik diterima oleh rakyat AS.

Namun itulah keunikan Obama, yang tidak hanya berjaya meruntuhkan benteng usia, malah merobohkan tembok perkauman untuk dipilih menjadi Presiden kulit hitam pertama AS.

Semuanya dilakukan dalam masa hanya tiga tahun selepas beliau dilantik menjadi ahli Senat, iaitu pendakian ke puncak kuasa yang beliau sendiri tidak mempercayainya meskipun sentiasa berharap untuk membuktikannya.

Bukan rahsia lagi persona Obama di mata rakyat AS adalah kerana kemampuannya berpidato dan meyakinkan orang ramai menerusi ucapannya.

Lontaran suaranya yang padu serta frasa kata yang asli menghidupkan gagasan-gagasan idea dan pemikiran yang disampaikan beliau.

Itulah juga yang dibuktikan oleh Obama menerusi buku dengan judul asal The Audicity of Hope ini. Bab-bab terawal dalam buku ini dimulakan dengan penyelusuran sejarah politik terbaru Amerika.

Obama cuba menjelaskan punca berlakunya kecenderungan memihak yang menyakitkan hati pada hari ini. Sesuatu yang sebenarnya turut berlaku dalam senario politik baru di negara ini.

Perbincangan itu diimbangkan pula dengan kupasan mengenai nilai-nilai, dasar dan kesepakatan yang boleh dikongsi seluruh rakyat Amerika dalam bab seterusnya.

Lebih mendalam kupasan mengenai perpaduan itu disorot dengan pengkajian ke atas Perlembagaan yang merupakan sumber hak individu. Malah ia juga sebagai cara untuk menyusun hubungan demokrasi dalam membentuk masa depan.

Obama seterusnya menyentuh mengenai sesetengah kuasa institusi seperti wang, media, kumpulan berkepentingan dan proses perundangan yang merimaskan ahli politik termasuk mereka yang berintegriti.

Menuju bab-bab terakhir pula, Obama mencadangkan gugusan-gugusan idea dan pemikiran bagaimana beliau dan rakyat AS boleh melangkaui sempadan dalam menangani pelbagai cabaran.

Antara masalah yang diberikan perhatian khusus ialah kegawatan ekonomi, ketegangan kaum dan agama dalam badan politik.

Serta ancaman antarabangsa daripada keganasan sehinggalah kepada wabak penyakit berbahaya.

Kesemua isu ini dibincangkan dalam ruang pemikiran dan pandangan Obama yang sangat sederhana, tetapi sangat mengesankan. Tidak terlalu optimistik sehingga kelihatan retorik, sebaliknya sangat realistik dan penuh harapan.

Menerusi buku ini, Obama memperlihatkan kepada dunia satu lagi cabang kemahiran beliau yang jarang dimiliki oleh politikus lain, iaitu sebagai penulis berbakat.

Obama turut membuktikan bahawa AS masih belum ketandusan pemimpin yang bijaksana dan berilmu untuk menduduki Pejabat Oval.

Adalah satu kerugian kepada pembaca di negara ini kerana buku pertama Obama iaitu Dream of My Father tidak turut diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu.

Buku itu menjadi buku New York Times paling laris terjual selama 142 minggu berbanding buku ini yang bertahan selama 67 minggu.

Judul: Keberanian Menggapai Harapan

– Gagasan Meraih Kembali Impian Amerika

Penulis: Barack Obama

Penerbit: Institut Terjemahan Negara

Malaysia (ITNM)

ISBN: 978-983-068-349-2

Harga: RM45

Pengulas: MOHD. KHUZAIRI ISMAIL