Pages

KABINET BARU DIBENTUK!!!

Thursday, August 13, 2009

Dewan Rahman Talib-Sebentar tadi Mesyuarat Agung Permas selamat melabuh tirainya. Berakhir sudah perkhidmatan penulis sebagai Exco Penerbitan dan Dokumentasi PERMAS 08/09. Setahun kiranya penulis berjuang bersama sahabat dalam barisan Majlis Tertinggi PERMAS 08/09, kini masanya sudah tiba untuk teraju dan tenaga baru mengambil alih tampuk pengurusan persatuan. Sepanjang tempoh tersebut, begitu banyak kenangan untuk dibingkis bersama.

Tidak kiralah baik-buruk, suka-duka, manis-pahit semua itu adalah adat dan resam untuk kita hirup bersama dalam konteks bepersatuan. Diharapkan, pengurusan baru yang telah dibentuk sebentar tadi mampu meneruskan kesinambungan dan legasi sebelumnya. Jadikanlah, panduan pada masa-masa sebelumnya sebagai aturan berharga dalam memastikan asas dan landasan penubuhan persatuan tidak terabai.

Dengan pembentukan kabinet baru ini, penulis percaya PERMAS 09/10 mampu untuk mencipta kejayaan dan kegemilangan di masa mendatang. Jika diteliti, PERMAS sudah dilengkapi dengan beberapa komponen asas untuk bergerak sebagai sebuah persatuan yang efektif.

Lebih-lebih lagi pembentukan kali ini telah menyaksikan gabungan muka lama dan baru bagi memantapkan pengurusan persatuan. Sekalung tahniah buat sahabat, Eddy Safbree Bin Salim atas kepercayaan ahli untuk anda memacu pergerakan persatuan. Dibantu oleh MT sebelumnya, saudara Newman Orjunal selaku Timbalan YDP, Samuel Sila selaku Naib YDP dan saudari Shaiha Sulaiman selaku Setiausaha yang baru, penulis percaya gandingan kalian adalah pilihan bernas buat pemantapan persatuan.

Tidak lupa juga, sekalung tahniah buat saudara Azan, Khairul Azhar, Norizam, Liry, Maizura, Thomiti, Norizan, Mohd Fadhilul, Mohd Faris, Nik Mohd Izani, Henri Jo dan Norliana diatas perlantikan anda semua ke dalam barisan kabinet baru PERMAS. Gunakanlah ruang dan mandat yang telah disediakan untuk anda buktikan PERMAS tidak ketandusan bakat-bakat dalam aspek kepimpinan. Cuma, keserasian dan pemahaman corak kerja perlu untuk diurus dan digilap oleh kepimpinan tertinggi bagi melahirkan satu jentera yang cukup ampuh dalam merencana, merancang dan menggerakkan perancangan persatuan.

Gabungan MT dari setiap semester juga merupakan satu tonik berguna bagi memastikan sokongan dan penglibatan daripada semua ahli dapat digembleng dengan semaksima mungkin. Hal ini kerana, kemantapan dalam aspek pengurusan semata-mata bukanlah jawapan terbaik dalam memastikan keberkesanan dan kejayaan perancangan persatuan. Usaha, sokongan dan penglibatan daripada semua ahli merupakan jawapan terbaik bagi menghasilkan satu gerak kerja yang gemilang buat nikmat bersama.

Satu perkara yang menarik untuk dikongsi, AJK Mesyuarat Agung kali ini telah berjaya melakukan satu transformasi dalam corak dan budaya pemilihan Majlis Tertinggi PERMAS. Sebelumnya, kabinet dipilih secara langsung tanpa berfokus terhadap mana-mana jawatan. Kali ini, perubahan telah dilakukan apabila calon yang dipilih bersaing untuk jawatan tertinggi dahulu kemudiannya barulah difokuskan kepada pembentukan kabinet. Difahamkan, mesyuarat pertama kabinet baru akan dilangsungkan pada Khamis depan dipengerusikan oleh YDP yang baru.

Buat akhirnya, sekalung apresiasi buat tenaga kerja PERMAS 08/09 khususnya Barisan Majlis Tertinggi PERMAS 08/09 atas gerak kerja bersama. Ampun maaf dihulur seandainya selama perkhidmatan penulis, terdapat salah dan silap selama kita bekerjasama. Buat semua ahli, berilah sokongan padu dan tidak berbelah bagi buat barisan kepimpinan baru. Laksanakanlah amanah dan mandat yang tersedia. Bergeraklah dalam satu saf yang utuh dalam membina satu gerakan cemerlang buat pemantapan komuniti Pendidikan Sejarah.

Secara rasminya, dengan mandat yang telah diberi oleh barisan kepimpinan sebelumnya. Saya Ahmad Baihaqi Bin Mohammad Yunus selaku Majlis Tertinggi PERMAS 08/09 menjawat portfolio Biro Penerbitan dan Dokumentasi dengan ini menyerahkan tugas secara rasmi berkait perjalanan Ruangan Rasmi PERMAS kepada YDP yang baru untuk diamanahkan kepada AJK baru.


Yang Di Pertua PERMAS 09/10
Eddy Safbree Bin Salim (Semester 5)

Timbalan Yang Di Pertua PERMAS 09/10
Newman Orjunal (Semester 4)

Naib Yang Di Pertua PERMAS 09/10
Samuel Sila (Semester 4)

Setiausaha PERMAS 09/10
Shaiha Bte Sulaiman

Ahli Majlis Tertinggi PERMAS 09/10

Azan, Khairul Azhar, Norizam (Semester 5)

Liry, Maizura dan Thomiti (Semester 4)

Norizan, Mohd Fadhilul dan Mohd Faris (Semester 3)

Nik Mohd Izani, Henri Jo dan Norliana (Semester 1)


Sekian,

Salam Ukhuwah Berpanjangan Buat Semua......

0 Komen: