Pages

Ramadhan Datang Lagi!!!

Tuesday, August 25, 2009

Ramadhan datang lagi...Ramadhan bulan yang dipenuhi rahmat Ilahi menuntut seribu satu pengorbanan untuk kita penuhi bersama. Bulan yang dianggap mulia dalam kalendar ibadat umat Islam ini semestinya dinanti dan diharungi dalam dua perspektif berbeda. Ada yang gembira dan ada yang merungut. Itulah hakikat dan realiti yang berlaku bermula dari awal pensyariatannya sehinggalah dizaman ini.

Bagi Muslim yang kukuh imannya, Ramadhan seringkali ditunggu-tunggu laksana sang teruna ternanti-nanti kelibat sang dara idaman kalbu. Setiap detik dan saat dalam tempoh menunggu itu dirasakan terlalu lama untuk ditempuhi. Sedang hadirnya Ramadhan itu disambut dengan seribu macam perasaan yang menggambarkan keseronokan, kesyukuran dan kenikmatan untuk dikecapi sepanjang berlabuhnya bulan barakah ini.

Ruang dan peluang yang dihidangkan oleh Ilahi ini semestinya akan dimanfaat dengan semaksima mungkin lantaran ganjaran hebat sedia terhidang untuk digapai. Betapa indahnya bulan mulia ini sekiranya kita penuhkan ia dengan amal ibadat sebagai simbol ketaatan, kesyukuran dan keabdian kita kepada tuan punya alam. Tempoh ini sewajarnya kita penuhi dengan zikir lambang kita mengangungkan-Nya, Terawih lambang kesyukuran kita akan nikat kurniaan-Nya, tilawah quran lambang kekaguman kita akan kehebatan firman-Nya dan pelbagai lagi bentuk ibadat boleh kita aplikasi.

Namun, harus diiangat! Ramadhan tidak hadir untuk penganutnya melakukan ibadat semata-mata. Namun, hadirnya Ramadhan itu untuk membentuk, mendidik dan menghiasi peribadi dan rohani Muslim untuk diaplikasi sepanjang hayat kehidupan. Maka, secara mudah Ramadhan itu bukanlah bulan untuk kita menambahkan bilangan ibadat semata-mata tetapi Ramadhan itu perlulah kita pandang dan lihat dalam konteks yang lebih spesifik yakni satu bentuk latihan bagi membentuk peribadi dan sahsiah unggul dikalangan Muslim.

Lantaran itu, Ramadhan menuntut kita berpuasa dalam maksud yang lebih menyeluruh. Ramadhan tidak hanya menuntut kita berpuasa menahan lapar dan dahaga semata-mata. Bahkan Ramadhan juga menuntut kita berpuasa daripada melakukan amalan keji dan menjauhi kemungkaran. Ramadhan menuntut kita memperbetulkan sahsiah dan peribadi diri dengan cara menjaga tutur bicara, tingkah laku dan pemikiran kita daripada unsur-unsur keji dan kemaksiatan.

Namun, sebahagian kita kadangkala terlupa ataupun buat-buat lupa akan tuntutan dan penghayatan sebenar yang perlu kita junjung sepanjang berlangsungnya Ramadhan ini. Disebabkan itu diawal perbincangan tadi, penulis mengatakan Ramadhan yang hadir ini akan diraikan dalam dua perspektif berbeda. Perspektif positif telah kita bincangkan bersama. Maka bagaimana pula perspektif negatif untuk kita nilai bersama?.

Bagi Muslim yang luntur dan goyah imannya, Ramadhan ini dinanti dengan perasaan gundah gulana. Seringkali jiwa dan hati kecil memberontak dengan seribu macam alasan, perasaan dan juga fikiran untuk menidakkan tuntutan wajib oleh Ilahi. Sering saja mulut memberikan pelbagai alasan untuk melarikan diri daripada menunaikan tanggungjawab ini. Semalam, sempat penulis menjenguk helaian akhbar Berita Harian. Isinya membicarakan pengakuan bintang filem Bollywood tersohor iaitu Shah Rukh Khan.

Lelaki yang telah dianugerahkan pangkat Datuk oleh kerajaan negeri Melaka ini telah membuat pengakuan tidak berpuasa penuh lantaran tuntutan kerjaya yang melampau. Katanya, setiap tahun beliau cuba memenuhi tanggungjawabnya dengan sekurang-kurangnya berusaha berpuasa selama 4 hari sepanjang berlangsungnya Ramadhan. Maknanya 26 hari lagi dibiarkan sepi tanpa merasa berdosa mahupun bersalah kepada tuan punya alam.

Demikianlah hebatnya alasan seorang manusia yang dianugerahkan oleh tuhannya dengan nikmat harta, pangkat, prestij dan darjatnya disisi manusia. Sedang manusia itu berhadapan dengan dilema memilih antara tuntutan kerjaya ataupun tuntutan tuan punya alam, pilihan hatinya terpaksa mengalah dengan tuntutan dunia sehingga terpaksa dikorbankan tuntutan tuhannya. Inilah yang dinamakan bertuhankan dunia. Amat keras bunyinya, namun itulah realitinya. Sedang kita berhadapan dengan kekangan keuzuran pun, selagi mana kita berdaya untuk melaksanakan syariat ini kita tetap dituntut mengerjakannya. Inikan pula manusia yang sihat batang tubuhnya bertuankan alasan tuntutan dunia untuk menidakkan tuntutan tuhannya.

Beralih kepada realiti kehidupan kita. Tidak dinafikan ramai dikalangan kita menjawab tuntutan tuan punya alam ini dengan sempurna. Puasa di bulan Ramadhan cukup bilangannya, namun sedih untuk kita terima. Ada dikalangan kita, puasanya penuh namun sembahyangnya separuh ataupun kosong. Kononnya mahu mengelak daripada puasa ganti pasca Ramadhan. Alasannya, godaan pasca Ramadhan lebih hebat lagi. Sedang sembahyang yang turut menjadi tunjang agama dipandang sepi.

Bagi kalangan Muslim yang bergelar kaki nombor ekor, kaki botol, kaki pub mahupun pelbagai lagi gelaran yang melambangkan ahli kemaksiatan, puasa siangnya penuh. Namun, aktiviti rutinnya tetap dijalankan. Manakan tidak, siang berpuasa, malam berdansa dan bergoyang di kelab malam, siang berpuasa, malam bertin-tin arak dibasahkan ke tekak, siang berpuasa, malam berpeluk-pelukan dilorong sepi, siang berpuasa, malam berjam-jam diwarung kopi, siang berpuasa, malam menatap akhbar ternanti-nanti keputusan nombor ekor kot-kotnya lucky.

Sesetengahnya, siang berpuasa, aktiviti mengumpat tak pernah sunyi, siang berpuasa, terlentang di katil dari pagi sampailah azan Maghrib berbunyi, siang berpuasa, aurat badan terdedah sana-sini, siang berpuasa, Dam Haji bergerak ke kanan ke kiri, siang berpuasa, motosikal terangkat kononnya Mat Remit sejati...

Inilah gambaran kebobrokan yang mendasari diri dan masyarakat kita. Ramadhan itu diangkat serinya pada gambaran nama dan ilusi bukan dihayati isi maknanya buat pedoman dan panduan untuk kita manfaatkan bersama. Kembalilah kita kelandasan sebenarnya. Seandainya kita tercicir daripada landasan sebenar mengikut panduan dan kehendak Ilahi nescaya kita akan binasa disebalik kedhaifan diri sendiri.

Akhir kalam, selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak buat semua. Hayatilah pengisiannya nescaya kita akan beroleh manfaat berguna dalam melayari kehidupan didunia fana ini. Sesungguhnya Allah amat menyayangi makhluk ciptaan-Nya sedang manusia itu kadangkala alpa untuk menghambakan diri kepada-Nya.....

Salam Ramadhan al-Mubarak....

Dari ruangan manusia kerdil d’ sisi Ilahi...

0 Komen: