Pages

PENANGGUHAN SERAHAN T-SHIRT PERMAS

Thursday, October 30, 2008



ABU HANIFAH HARIS
ASSALAMIALAIKUM W.B.T.....

Saya selaku Presiden PERMAS dan secara tidak langsung mewakili kepimpinan PERMAS di sini ingin memohon jutaan kemaafan kepada semua ahli PERMAS yang telah menempah baju di atas kelewatan penyerahan t-shirt PERMAS yang sepatutnya diperolehi pada minnggu ini. Semua ini berpunca daripada masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan.

Sebelum itu, saya memohon jasa baik kalian semua yang telah menempah t-shirt dan belum memperolehinya agar sedia untuk berlapang dada dan bertenang seketika. Apa yang lebih penting, sekarang bukan masanya untuk menuding jari dan menyalahkan sesiapa tetapi yang lebih penting ialah sikap saling bekerjasama bagi menyelesaikan isu ini agar tidak menjadi lebih 'parah' lagi.

Untuk pengetahuan semua, masalah ini sebenarnya berpunca daripada pihak kilang yang kekurangan tenaga kerja di mana kebanyakan pekerja yang terdiri daripada pekerja asing telahpun menghilang diri akibat serbuan pihak KASTAM sejak 2 minggu yang lalu. Sebagaimana yang kita tahu, kebanyakan sektor perkilangan kini banyak yang mengambil pekerja asing akibat kesukaran mendapatkan tenaga kerja tempatan. Akibatnya, kerja-kerja menyiapkan tempahan telah tertangguh sehingga tuan kilang sendiri terpaksa 'turun padang' untuk menjahit sendiri tempahan-tempahan tersebut. Oleh yang demikian, jelaslah bahawa punca sebenar masalah yang berlaku adalah disebabkan oleh kegagalan pihak kilang untuk mendapatkan tenaga kerja bagi menyiapkan kesemua tempahan t-shirt tersebut pada masa yang telah ditetapkan.

Namun begitu, ia bukan bermakna pihak PERMAS ingin berlepas tangan dan langsung tidak mahu bertanggungjawab dalam menyelesaikan masalah ini kerana mahu tak mahu, pihak PERMAS sendiri sebenarnya sudahpun 'terseret' sama ke dalam masalah ini walaupun hanya menjadi 'orang tengah' antara pihak pembekal dan kilang. Untuk pengetahuan semua, pihak PERMAS sendiri sentiasa melakukan 'follow-up' saban minggu bagi memastikan kesemua tempahan dapat disiapkan segera mengikut perancangan. Malahan saya sendiri tanpa jemu sentiasa menghubungi pembekal bagi mnegetahui status sebenar tempahan tersebut. Tetapi apakan daya, kuasa tuhan itu mengatasi segalanya.

Sebagai seorang mahasiswa bitara yang mempunyai sifat timbang rasa dan belas kasihan, saya percaya kalian semua dapat berfikir secara rasional dan matang berkenaan masalah ini. Oleh yang demikian, diharap kalian semua dapat bersabar kerana t-shirt tersebut tidak akan ke mana-mana; yang membezakannya hanyalah cepat atau lambat memperolehinya sahaja. Apa yang lebih penting, tumpukan dahulu kepada peperiksaan akhir semester yang lebih menjamin masa depan kalian.

Hasil perbincangan dengan pihak pembekal, beliau telah memberikan jaminan bahawa t-shirt tersebut akan diberikan selewat-lewatnya hari jumaat depan. Namun begitu jika tempahan dapat disiapkan lebih awal, maka beliau sendiri akan datang seawal yang mungkin untuk menyerahkannya kepada pihak PERMAS seterusnya dapat diserahkan pula kepada para pelajar. Itulah 'janji' pihak pembekal kepada kami. Oleh yang demikian, pemberian t-shirt akan dijalankan pada jumaat malam di minggu hadapan berdasarkan 'janji' yang telah diberikan oleh pihak pembekal.

Oleh yang demikan, saya sekali lagi menyusun 10 jari memohon kemaafan daripada anda semua kerana tidak dapat mengotakan janji saya untuk mengedarkan semua tempahan t-shirt pada minggu ini juga disebabkan masalah yang tidak dapat dielakkan. Saya tahu dan sedar, mereka yang gagal menunaikan janji memang layak untuk digelar "munafiq" (Na'uzubillahi Min Zaalik!). Percayalah, jika saya sendiri boleh menjahit dan mencetak baju-baju tersebut, maka saya pasti akan turut sama membantu untuk menyiapkan kesemua tempahan tersebut agar semua pihak dapat memperolehi t-shirt tersebut pada masa yang telah dijanjikan.

Kepada adik-adik junior yang banyak membantu PERMAS dalam menyelesaikan masalah ini dan memahami situasi sebenar yang sedang kami hadapi, sekalung penghargaan kepada kalian semua. Bagi semua MT yang telah banyak berkorban pula, hanya tuhan yang dapat membalas jasa kalian semua (Insyaallah). Buat kawan-kawan semua yang telah banyak 'bersabar' pula, ingatlah bahawa Allah bersama orang-orang yang sabar. Akhir kata, salam kemaafan daripada saya mewakili pihak PERMAS buat kalian semua di atas kelewatan dan penangguhan serahan tempahan t-shirt tersebut

"Salam Kemaafan & Selamat Menjalani Peperiksaan"


Yanng benar,

ABU HANIFAH HARIS
..................
Presiden PERMAS Sesi 2008/09

0 Komen: