Pages

TERKINI! Sekitar Perlantikan MPP baru!

Saturday, November 8, 2008

Bitarasiswa 11 Nov – Majlis penyerahan watikah perlantikan Ahli Majlis Perwakilan Pelajar UPSI sesi 08/09 selamat berlangsung bertempat di bilik pameran Bitarasiswa malam tadi. Turut hadir pada majlis tersebut ialah Naib Canselor Prof Dato’ Dr. Aminah Ayob, Timbalan Naib Canselor, Dekan-dekan Fakulti, Ahli Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2007/08, serta kakitangan Jabatan Hal Ehwal Pelajar. Dalam majlis tersebut berlangsungnya acara permulaan iaitu penyerahan watikah perlantikan barisan Ahli Majlis Perwakilan Pelajar UPSI sesi 08/09 mengikut komposisi exco yang telah dipersetujui bersama. Majlis kemudiannya diteruskan lagi dengan aturcara bacaan ikrar oleh barisan Ahli Majlis Perwakilan Pelajar UPSI sesi 08/09 dengan diketuai Yang Dipertua yang baru iaitu saudara Mohamad Hairie bin Abdullah daripada Fakulti Bahasa yang menang tanpa bertanding dalam pilihanraya kampus baru-baru ini.


Gambar: Naib Cancelor UPSI, Mantan YDP & YDP MPP Sesi 08/09.

Seterusnya majlis diteruskan dengan ucapan dasar oleh saudara Mohamad Hairie bin Abdullah selaku Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar yang baru. Seterusnya majlis diteruskan lagi dengan ucapan daripada tetamu kehormat pada malam itu iaitu Naib Canselor Prof Dato’ Dr. Aminah Ayob dan seterusnya penyerahan sijil penghargaan kepada Ahli Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2007/08 diketuai oleh mantan YDP sebelum ini iaitu saudara Raimi. Seterusnya majlis bersurai.


gambar: Barisan MPP Sesi 08/09

Untuk makluman semua, penulis berkesempatan menyaksikan majlis perlantikan tersebut. Untuk itu, suka kiranya penulis berkongsi beberapa peristiwa menarik dan penting untuk kita kongsi bersama. Pertamanya, sebelum majlis tersebut diadakan, semua calon yang telah berjaya memperoleh kemenangan dalam Pilihan Raya Kampus (PRK) baru-baru ini diberi tempoh masa selama beberapa hari untuk berbincang berkenaan komposisi dalam struktur pentadbiran Majlis Perwakilan Pelajar yang baru. Dalam hal ini, telah berlaku beberapa perkara atau masalah berkaitan dengan komposisi pembahagian jawatan dalam Majlis Perwakilan Pelajar itu sendiri yang mana melibatkan beberapa jawatan penting untuk diisi. Dalam konteks ini, berlaku pertikaian terhadap ketiadaan Akmal Bin Mahdzir yang memperoleh undian tertinggi dalam pilihanraya kampus baru-baru ini tetapi tidak diberikan jawatan tertinggi mengikut hirerki sesebuah organisasi iaitu YDP, Timb. YDP, Setiausaha, mahupun Bendahari. Namun akhirnya masalah tersebut diselesaikan dengan penuh iltizam dan tanggungjawab yang tinggi daripada semua pihak walaupun bukanlah secara menyeluruh tetapi berdasarkan keputusan undian secara majoriti melebihi minoriti. Untuk itu, suka kiranya penulis melihat kepada ucapan Naib Canselor kita pada malam itu yang berkaitan perkara tersebut.


gambar: Barisan MPP Sesi 08/09

Dalam ucapannya, beliau telah menarik perhatian semua apabila menyentuh berkenaan isu perlantikan MPP yang baru. Menurut beliau, perlantikan kabinet Majlis Perwakilan Pelajar adalah mengikut Perlembagaan UPSI dan juga Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) itu sendiri. Beliau turut membacakan beberapa perkara yang termaktub dalam kedua-dua perlembagaan dan akta tersebut. Apa yang menarik untuk kita hayati bersama ialah, beliau meminta semua pihak membaca dan memahami perkara yang termaktub dalam Perlembagaan UPSI dan juga Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) itu sendiri. Beliau mengharapkan, perlantikan tersebut dapat diterima dengan penuh hati oleh semua yang terlibat iaitu komposisi jawatan bukanlah sesuatu yang penting untuk dinilai tetapi maksud sebenar sebuah kabinet itu adalah menjurus kepada setiap keputusan adalah berdasarkan kaedah kolektif iaitu secara permuafakatan bersama. Perpaduan dan semangat kerjasama antara ahli adalah perlu diutamakan bagi menjamin kebajikan mahasiswa.


gambar: Mantan MPP bersama TNC HEPA Prof. Shaharuddin.

Selain itu, dalam ucapannya juga, beliau turut memperingatkan perihal tanggungjawab dan kesedaran yang sebenar perlu difahami oleh Ahli Majlis Perwakilan Pelajar. Untuk itu, beliau mengulas ucapan saudara Hairie Bin Abdullah yang menyatakan kebajikan dan suara pelajar adalah menjadi salah satu keutamaan dalam perjuangan MPP baru. Menurut Prof. Dato’ Dr. Aminah Ayob, kebajikan pelajar adalah suatu perkara yang tidak salah untuk diperjuangkan. Tetapi, perlu diingat, terdapat juga beberapa perkara yang perlu diperjuangkan oleh MPP baru iaitu kualiti akademik dan sahsiah mahasiswa UPSI. Beliau berpendapat, gejala dan sindrom ’suka balik kampung’, pulang ke kampus di ’Morning Monday’, malas ke perpustakaan, dan beberapa perkara lagi perlu diusahakan dan diatasi dengan lebih gigih oleh barisan MPP baru. Menurut beliau, pihak universiti telah berusaha membantu dan memperjuangkan kebajikan para pelajar. Untuk itu, beliau membawakan contoh penginapan pelajar UPSI adalah bertaraf Apartment Unit, berbanding dengan universiti lain. Beliau memberikan perbandingan antara penginapan pelajar di UPSI dan USM Pulau Pinang, iaitu sebuah bilik di UPSI didiami oleh 2 orang pelajar berbanding di USM seramai 4 orang pelajar sebilik.


Gambar: antara Ahli Majlis Perwakilan Pelajar UPSI 08/09.

Menurut beliau, kebajikan dan keselesaan yang diberikan perlulah difikirkan dan seharusnya kualiti pencapaian akademik pelajar perlu seiring kemudahan terbaik yang disediakan. Seterusnya, dalam ucapan dasar YDP MPP baru iaitu saudara Hairie Bin Abdullah, beliau turut membawakan beberapa isu yang mahu diperjuangkan oleh barisan kepimpinan baru seperti perkhidmatan bas ke kampus, kemudahan-kemudahan pelajar, pinjaman biasiswa dan sebagainya. disamping itu juga, beliau bertegas untuk menjaga dan membawakan suara dan pendapat mahasiswa untuk didengari dan dipandang enteng buat pihak berwajib. Namun, apa yang menarik perhatian penulis adalah, semangat dan janji beliau dalam membuktikan kemampuannya untuk memimpin barisan exco yang baru untuk bekerja secara kolektif. Dalam ucapannya, beliau ada menyatakan berkaitan aspek perjuangan, misi dan visi barisan kepimpinan baru untuk direalisasikan. Dalam hal ini, selepas beberapa masalah dan pertikaian yang berlaku, disinilah kematangan, daya kepimpinan, dan kebijaksanaan beliau selaku pemimpin nombor satu mahasiswa diuji untuk mewujudkan satu kepimpinan yang benar-benar bersifat kumpulan dan kolektif demi kabaikan semua. Dalam hal ini, penulis percaya, seorang pemimpin yang baik salah satu ciri yang perlu ada padanya adalah menyatupadukan barisan kepimpinannya.


gambar: Barisan kepimpinan baru MPP.

Penulis menggambarkan, harapan yang begitu tinggi oleh semua mahasiswa UPSI untuk melihat barisan pemimpin yang mereka pilih ini mampu menterjemahkan undi sokongan mereka itu dalam bentuk perkhidmatan yang cemerlang, manfaat yang boleh dinikmati semua, dan sudah tentu hak-hak dan suara mahasiswa dapat dibela dan diperjuangkan. Adalah mustahil untuk suatu organisasi itu berkembang dengan sebaiknya seandainya cara kerja, matlamat, dan kata putus terhadap sesuatu perkara tidak boleh dicapai dalam suasana kolektif. Untuk itu, adalah menjadi tanggungjawab buat semua barisan kepimpinan yang telah dipilih untuk memikirkan bagaimanakah kaedah yang terbaik untuk diambil bagi menajadikan MPP sebagai sebuah entiti yang benar-benar memperjuangkan kebajikan dan suara mahasiswa. Semua mahasiswa UPSI penulis percaya, mahukan kepimpinan baru ini dapat melakukan perkhidmatan yang cemerlang, gemilang dan terbilang disamping benar-benar berfungsi sebagai entiti atau payung buat kebajikan dan suara pelajar. Selain itu, pihak kami di Majlis Tertinggi Persatuan Mahasiswa Sejarah merakamkan ucapan tahniah buat dua wakil daripada mahasiswa Sejarah iaitu saudara Mohammad Asree Bin Abd Aziz dan saudari Adriyanie Binti Yamin dan juga buat semua barisan kepimpinan MPP sesi 08/09 atas perlantikan anda dalam barisan kepimpinan MPP yang baru. Tunaikan amanah dan harapan rakan-rakan dalam memperjuangkan dan membantu mahasiswa Sejarah khususnya dan semua mahasiswa UPSI amnya.


gambar: Adriyanie Bt Yamin & Muhammad Asree Bin Abd Aziz (Wakil FSSK)

Buat akhirnya, suka kiranya penulis melontarkan cadangan agar pemilihan bagi exco dan juga jawatan tertinggi dalam struktur organisasi Majlis Perwakilan Pelajar dapat dijalankan secara yang labih bersistematik dan saksama. cadangan yang dikemukakan ini bermaksud untuk mengelakkan masalah dan peristiwa sebelum ini tidak berulang kembali. Dalam hal ini, penulis berpendapat, kriteria seperti senioriti atau umur, daya kepimpinan, suara majoriti, karisma dan logik dapat digunapakai bagi pemilihan seseorang pemimpin. Seseorang pemimpin itu hakimnya adalah warga dibawahnya dengan kata lain, mahasiswa UPSI adalah hakim kepada pemimpin di Majlis Perwakilan Pelajar. Keputusan mahasiswa boleh juga kita katakan diterjemahkan dalam bentuk jumlah undian, dan dalam keputusan penghakimannya warga mahasiswa UPSI telah membuat keputusan memilih anda. Dalam hal ini, seseorang pemimpin yang baik itu bukanlah didasarkan atas ciri-ciri personaliti atau perkara kosmetik sahaja tetapi perlu ada nilai-nilai integriti, ketelusan, keikhlasan, jujur, amanah, adil, bertolak ansur sebagai imej atau identiti wajib buat seorang pemimpin untuk memimpin. Laksanakanlah amanah yang diberi sebaik mungkin, tingkatkan prestasi jauhkan kontroversi. Sebagai penutup marilah kita hayati petikan artikel daripada jurulatih Kelab Debat UPSI iaitu saudara Yusfarizal Bin Yusoff,

Sewaktu Razali (nama sebenar) berada diusia kanak-kanak, Razali seringkali bergaduh (baca: buli) dengan adik lelakinya yang umurnya 4 tahun lebih muda daripadanya. Apabila bergaduh, adiknya seringkali mengadu kepada ibu dan berkata “Ibu, tengoklah abang ni, dia buat adik”. Sejurus selepas aduan tersebut, maka betis dan juga punggung Razali akan berbirat dihinggap oleh hayunan rotan kecil atau kepala talipinggang. Selalunya Razali yang kena. Tidak kira sama ada Razali yang memulakan pergaduhan atau adiknya yang cuba menyiram minyak keatas api. Prinsip ibu Razali mudah, kalau bergaduh, ia tentu salah Razali, dan bukan adik Razali kerana Razali adalah yang tua, yang seharusnya mengalah.
Sudah semestinya Razali sentiasa tidak berpuas hati. Acapkali juga Razali mempertikaikan tindakan ibu, dengan menghukum tanpa usul periksa, dan yang lebih mengecewakan tanpa memberikan peluang untuk didengar. Kalau adapun penjelasan daripada Razali yang didengar, ia hanya semata-mata didengar tanpa ada apa-apa tindakbalas susulan. Pendek kata, salah siapa sekalipun, Razali tetap dipukul.

Seorang pemain bolasepak bernama Rizal mempertikaikan keputusan pengadil perlawanan setelah gol yang dijaringkan dibatalkan atas alasan “offside”. Beliau bersungguh mempertahankan bahawa kedudukannya tidak “offside” walaupun pengadil utama dan kedua-dua penjaga garisan menyatakannya “offside”. Beliau tetap dengan pendiriannya membantah keputusan sehingga pengadil terpaksa mengenakan kad kuning kepadanya. Setelah tamat perlawanan, Rizal menonton semula video perlawanan dan mendapati sememangnya beliau berada dalam keadaan “offside”. Ketika itu barulah Rizal sedar bahawa bantahan beliau ketika perlawanan adalah satu kesilapan, kerana Rizal bukanlah orang yang layak menentukan sama ada dirinya bersalah atau tidak. Yang berhak menentukannya adalah pengadil yang telah dilantik atas persetujuan bersama, yang tidak berpihak kepada mana-mana pasukan.

Senario diatas adalah lumrah biasa dalam kehidupan. Pasti anda juga biasa menghadapi perkara-perkara tersebut dalam hidup. Ya, benar. Ia semakin berleluasa. Acapkali kita menghukum tanpa usul periksa dan acapkali juga kita menghukum keatas tindakan kita sendiri, tanpa merujuk atau memberi peluang kepada orang lain untuk menghakimi kita. Tatkala itulah kita lupa bahawa kita sebenarnya telah melakukan sesuatu diluar batas keadilan semulajadi. Prinsip keadilan semulajadi berlandaskan Undang-Undang Kelaziman (Common Law) yang disedut daripada sistem kehakiman Westminster telah menggariskan 2 prinsip utama iaitu Audi Alteram Partem dan Nemo Judex In Causa Sua. Audi Alteram Partem bermaksud seseorang mestilah diberikan hak untuk didengar, manakala Nemo Judex in Causa Sua bermaksud, seseorang tidak boleh menjadi hakim/menghakimi perkara berkaitan dirinya sendiri.

Jadi, amat benarlah ketidakpuasan hati Razali terhadap ibunya, kerana tiada prinsip keadilan semulajadi dalam tindakan ibu. Razali tidak pernah diberikan hak untuk didengar dan dalam semua keadaan, adiknya pula yang menjadi hakim kepada pergaduhan tersebut sementara ibunya sebagai algojo. Amat benar juga penyesalan Rizal kerana beliau bukanlah orang yang layak menghakimi dirinya sendiri dalam sesuatu perlawanan bolasepak.



Berikut merupakan barisan Ahli Majlis Perwakilan Pelajar UPSI sESI 08/09:

Yang DiPertua : Mohamad Hairie bin Abdullah (FB-menang tanpa bertanding)

Timbalan Yang DiPertua : Nor ‘Ain Bt. A. Razak (umum-4011 undi)

Naib Yang Dipertua : Syaiffuldin bin Mohamad (FPE-315 undi)

Setiausaha Agung : Mohd Razik bin Khalid (FTMK-164 undi)

Pen. Setiausaha Agung : Muzaitul Akmar bin Mohammad (FTMK-159 undi)

Bendahari : Muhammad Asree bin Abd Aziz (FSSK-1276 undi)

Pen. Bendahari : Muhamad Nazarul Hazwan Bin Abd Razak (umum-3729 undi)

Exco Ekonomi & Keusahawanan : Mohd Fitri bin Amil(FSKPM-544 undi), Nurul Illyana bt Mohamad((FPE-244 undi)

Exco Perhubungan Awam & Antarabangsa : Lee Sun ju(etnik cina-menang tanpa bertanding), Punethan(etnik india-menang tanpa bertanding)

Exco Sukan & Rekreasi : Mohd Nor Faiz bin Mat Ali(FSS-menang tanpa bertanding), Siti Nor Hazliza binti Rosli(FSS-menang tanpa bertanding)

Exco Penerbitan & Informasi : Mohd Firdaus bin Mohd Fauzi(FSM-menang tanpa bertanding), Siti Khairiah binti Jajuli (FB-menang tanpa bertanding)

Exco Perpaduan & Integrasi : Armadi bin Derus(etnik Sabah-103 undi), Bornifes(etnik Sarawak-49 undi)

Exco Kesenian & Kebudayaan : Norhisham bin Che Hamid (FSM-menang tanpa bertanding), Mohd Hanif Azwan Bin Ab Rahman(FST-1389 undi)

Exco Kebajikan & Kemasyarakatan : Mohd Zulhilmi Bin Mohd Noor(FSKPM-483 undi), Adriyani binti Yamin(FSSK- 906 undi)

Exco Akademik & Kerjaya : Arif bin Mohamad(umum-3757 undi), Nur Aqilah Hanis binti Mohd Yusof(umum-3532 undi)

Exco Latihan & Pembangunan Sahsiah : Akmal bin Madzir(umum-4124 undi), Norhafizawati binti Mahmad Rozali(FST-1055 undi)

Editor: Janggut Hitam.

0 Komen: