Tuesday, November 11, 2008
Tanjung Malim 15 Ogos – Dalam keasyikan kita mentelaah mata pelajaran buat bekalan dalam peperiksaan akhir semester dalam minggu terdekat ini, sedar ataupun tidak akan beberapa perkara yang boleh dianggap sebagai satu fenomena perubahan dalam sosio kehidupan masyarakat dunia hari ini. Pertamanya, suka kiranya untuk kita melihat perkembangan dan perubahan yang sedang berlaku di Amerika Syarikat melibatkan perubahan mentaliti, citarasa, persepsi, fahaman, dan tanggapan masyarakat Amerika itu sendiri. Dasar Aparteid yang pernah diperkenalkan dan diamalkan di Afrika Selatan suatu ketika dulu merupakan antara dasar fahaman yang keji dari sudut kemanusiaan itu sendiri.
Barrcak Obama: Presiden kulit hitam pertama Amerika Syarikat.
Namun setelah sekian lama berlalu, masyarakat dunia secara sedar ataupun tidak mendabik dada mengatakan penerimaan dan pengaruh Dasar Aparteid sudah dihapuskan. Walhal, perkara tersebut masih berlaku dalam kehidupan masyarakat dunia hari ini. Tembok pemisah suatu ketika dahulu berada didalam imaginasi puak-puak ekstremis Ariel Sharon kini sudah direalitikan pembinaannya. Namun hakikat yang nyata adalah dasar memisah yang diamalkan oleh Sharon ini sama seperti mana dasar apartheid yang pernah diamalkan oleh kerajaan Afrika Selatan sedikit masa dahulu.
Apa bezanya perilaku puak-puak ekstremis seperti Ariel Sharon, George W. Bush yang tidak ada sedikit pun peri kemanusiaan dalam hati mereka dengan pengamalan dan dasar yang pernah diperkenalkan dan dipraktikkan di Afrika Selatan itu?. Dalam konteks ini, penulis mahu mengajak pembaca budiman sekalian untuk melihat perubahan yang kononnya sedang berlaku di negara unipolar dunia iaitu Amerika Syarikat. Kemenangan Barrack Hussein Obama dalam pilihanraya presiden baru-baru ini menyaksikan Obama berjaya merealisasikan impiannya untuk menjadi Presiden Amerika Syarikat ke-44 seterusnya mencipta sejarah menjadi warga kulit hitam pertama di Amerika Syarikat menduduki kerusi panas di White House itu.
Mampukah lelaki ini melakukan perubahan?
Namun, bukan kekalahan John Mccain yang mahu kita bicarakan disini. Tetapi fokus atau kiblat kita adalah seperti yang penulis garapkan sebentar tadi iaitu perubahan mentaliti, citarasa, persepsi, fahaman, dan tanggapan masyarakat Amerika itu sendiri. Sekian lamanya mentaliti bangsa Amerika itu desemaikan dengan tanggapan warna kulit adalah antara penentu seseorang calon itu untuk menjadi pemimpin. Di Amerika, walaupun mentaliti dan fahaman yang bersamaan dengan Dasar Aparteid itu dikatakan sudah tidak praktikal lagi, namun secara realitinya penerimaan dasar itu masih digunapakai oleh sesetengah warganya. Peristiwa serangan 11 September 2001 telah mencetuskan fenomena Islamphobia iaitu pandangan serong terhadap Islam dan umatnya sehingga bibit-bibit Dasar Aparteid itu semakin berleluasa.
Bapa tirinya Muslim namun itu tidak menggugat pengaruhnya...
Pentadbiran Bush selama hampir 4 tahun di White House telah memperlihatkan secara jelas diskriminasi agama dan kaum oleh mereka terhadap masyarakat Islam. Kesinambungan daripada sikap diskriminasi itu telah dizahirkan melalui perang ke atas Afghanistan dan Iraq yang membawa kepada tumbangnya kerajaan Taliban dan jatuhnya kekuasaan Saddam Hussien dan parti Baathnya di Iraq. Begitu juga kes yang berlaku di Belanda apabila seorang ahli parlimennya mengarahkan pembikinan filem Fitna dengan motif utamanya adalah untuk memburuk-burukkan Islam dan pengikutnya. Seterusnya penyelesaian konflik yang tidak pernah menemui titik noktahnya di Palestin yang meragut dan memporakperandakan kehidupan masyarakat Palestin itu sendiri tidak pernah dipandang enteng oleh Amerika selaku orang tengah dalam penyelesaian konflik tersebut.
Saddam Hussein...disinilah pengakhiran hayatnya..
Secara terus terang Israel di jaga seperti anak emas daripada dikenakan sebarang tekanan dan tindakan oleh masyarakat dunia. Buktinya sebanyak 30 veto telah dikenakan oleh Amerika untuk semua resolusi bagi mengecam dan mengutuk tindakan ganas Israel terhadap Palestin. Pengisyhtiharan Doktrin Negroponte dengan maksud sebarang resolusi mengecam tindakan ganas Israel andainya tidak disertakan sekali kecaman terhadap pertubuhan seperti Hamas dan Briged al-Aqsa tidak akan diterima oleh Amerika Syarikat jelas menampakkan pengamalan Dasar Aparteid oleh pentadbiran Amerika terhadap Islam. Namun, kemenangan Barrack Obama dalam pemilihan presiden baru-baru ini memperlihatkan beberapa perubahan dari segi mentaliti, citarasa, persepsi, fahaman, dan tanggapan masyarakat Amerika itu sendiri. Buktinya adalah mudah, Barrack Obama merupakan calon kulit hitam berketurunan Kenya bagi pihak bapanya dan kulit putih Amerika di sebelah ibunya tetapi semua itu sudah tidak diambil peduli oleh warga Amerika Syarikat.
Selain itu, apa yang paling menarik ialah, serangan oleh pasukan kempen seterunya iaitu Senator John McCain berkaitan pertikaian status agamanya samada Islam ataupun Kristian tetapi penerimaan pengundi tetap tidak tergugat oleh spekulasi tersebut memperlihatkan perubahan yang penulis katakan sebelum ini sedang melanda Amerika Syarikat. Perubahan yang berlaku di Amerika Syarikat ini mencetuskan harapan dikalangan dunia Islam dan masyarakat dunia untuk melihat perubahan dasar untuk tidak lagi mendiskriminasi Islam dan penganutnya. Segala perubahan dan perkembangan yang berlaku ini dilihat dengan penuh teliti oleh semua pihak. Kita tinggalkan perubahan yang berlaku di Amerika itu untuk kita tinjau kehidupan dan politik kampus kita di UPSI ini.
Perubahan di UPSI
Barisan MPP kita sudah sah diumumkan lantikan mereka dan menamatkan teka-teki yang tersebar meluas sebelum ini. Molek kiranya penulis kaitkan perubahan di Amerika itu dengan perubahan di kampus UPSI ini. Jika sebelum ini, setiap calon yang bertanding dalam pilihanraya kampus berdasarkan pihak Aspirasi dan lawannya Pro Mahasiswa, namun dalam PRK baru-baru ini larangan oleh Naib Canselor kita supaya tidak ada label bagi mana-mana calon yang bertanding dan semua calon yang bertanding adalah calon-calon yang diistyriharkan bebas tanpa mana pengaruh anasir luar boleh juga kita katakan suatu perubahan yang positif untuk kita nikmati. Tiada lagi jaminan buat calon-calon untuk bertanding atas bantuan entiti ataupun orang lain kerana penulis percaya dalam PRK baru-baru ini pengundi iaitu mahasiswa sudah tahu untuk menilai potensi yang ada buat semua calon untuk digalas harapan dan suara mereka.
Diharapkan amalan ini diteruskan dalam pilihanraya kampus akan datang untuk menjamin prinsip demokrasi terus subur buat semua mahasiswa untuk mengetangahkan bakat dan potensi kepimpinan mereka tanpa ada sebarang sekatan atau halangan. Penulis percaya, ruang demokrasi dan keadilan sejagat itu boleh dibaik pulih tidak kira dimana kita berada diatas muka bumi ini andainya kita benar-benar komited untuk melihat perubahan. Perubahan yang dimaksudkan oleh penulis adalah perubahan daripada baik kepada lebih baik supaya hasil yang kita peroleh nanti benar-benar terbaik.
Akhir kata, hijrahkan diri kita kearah kebaikan kerana itulah saranan dan tuntutan nabi buat semua umatnya. Jadikan semester ini sebagai satu pelayaran kehidupan yang telah dilalui untuk kita nilai satu persatu demi mencipta perubahan di semester depan bagi mencapai kualiti mahasiswa bitara yang kita impikan. Akhir kata salam cuti semester buat semua dan hayatilah petikan kata-kata pemenang pilihanraya presiden Amerika Syarikat baru-baru ini iaitu Senator Barrack Hussein Obama:
"Sekiranya anda menyertai saya dalam pertarungan ini, sekiranya anda merasai takdir dan nampak apa yang saya lihat, masa depan yang tidak ada penghujungnya ... jika anda merasai apa yang saya rasa, masa kini menyedarkan kita dari tidur kita dan membaluti perasaan takut kita ...maka saya bersedia untuk bersaing,"
Editor : Janggut Hitam.
0 Komen:
Post a Comment