Pages

APA BEZANYA???

Friday, November 14, 2008

Apa bezanya perbuatan Mukhlas, Amrozi, Imam Samudra, Saddam Hussin, dengan George W. Bush, Ariel Sharon, Radovan Karadzic dan pembunuh umat manusia yang lain?. Itulah pertanyaan penulis terhadap liputan berita kematian 3 orang yang digelar sebagai pembunuh Bali iaitu Mukhlas, Amrozi dan Imam Samudra yang penamat hayatnya dihujung senapang. Tatkala penulis membaca liputan akhbar berkaitan hukuman yang bakal dihadapi oleh mereka itu, tidak dapat penulis bayangkan apakah penulis larat atau mampu untuk berhadapan dengan situasi yang serupa seandainya penulis berada ditempat mereka. Apakah kuat iman kita untuk menghadapi saat-saat yang paling menggerunkan dalam kehidupan manusia di muka bumi ini?.


Gambar: Amrozi dan Mukhlas.

Itulah antara persoalan yang bermain di minda penulis. Disaat memikirkan apakah perasaan mereka tatkala ajal dan maut sudah diketahui dan dijangka, penulis turut bersyukur kehadrat Ilahi kerana demikianlah antara manfaat untuk kita apabila urusan ajal maut itu kekal menjadi misteri untuk kita ketahui. Apakah perasaan kita andainya kita sudah mengetahui ajal kita semakin hampir?. Demikianlah juga keadaan atau situasi yang perlu dihadapi oleh ketiga-tiga orang tersebut. Namun, apa yang menarik untuk kita bincangkan bersama adalah, apakah bezanya perbuatan ketiga-tiga pesalah tersebut itu dengan individu-individu yang penulis sebutkan tadi?.

Persoalan syurga neraka, betul atau salah, jihad atau tidak kita ketepikan dahulu dalam konteks perbincangan kali ini. Mungkin jika ada kelapangan waktu mungkin kita boleh bincangkan lagi persoalan-persoalan itu. Namun, apa yang ingin penulis garapkan disini adalah, perbuatan ketiga-tiga pesalah ini adalah sama dengan individu-individu yang penulis sebutkan sebentar tadi. Namun, hakikatnya sebahagiannya sudah menerima balasan setimpal atas perbuatan yang dilakukan oleh mereka dan sebahagian lagi masih bebas dan kebal daripada sebarang bentuk hukuman. Mukhlas, Amrozi dan Imam Samudra sudah menemui ajal dengan hukuman tembak sampai mati di pulau Nusakambangan manakala Saddam Hussin pula di tali gantung dan beberapa orang lagi sudah menjalani hukuman. Kesalahan yang dilakukan oleh mereka adalah membunuh manusia lain tanpa ada batas perikemanusiaannya dan mangsa yang dibunuh oleh mereka itu adalah orang awam yang tidak bersalah.


Gambar: Keadaan pengeboman kelab malam di Bali.

Demikianlah antara intipati dalam pertuduhan yang dikenakan keatas mereka untuk merelevenkan hukuman mati itu. Namun, penulis percaya, individu seperti George W. Bush, Ariel Sharon, Radovan Karadzic dan beberapa individu yang layak digelar penjenayah perang dan kemanusiaan di zaman ini masih bebas dan belum menerima hukuman atas apa yang mereka telah lakukan. Umum sedia maklum, perihal kejahatan dan keganasan yang dilakukan oleh Israel terhadap bangsa Palestin. Khusus untuk penelitian kita bersama, mari kita intai dan lihat apa yang berlaku dalam kes pembunuhan bangsa Palestin di kem pelarian Shabra dan Syatila yang berlaku pada 17 September 1982. Untuk rekod kepada peristiwa kejam itu, tentera Israel yang dipimpin Ariel Sharon (bekas Perdana Menteri Israel) pada ketika itu, mengarahkan askarnya melakukan pembunuhan besar-besaran di kem pelarian Palestin di Shabra dan Shatila yang terletak di Beirut Barat.


Gambar: Peristiwa keganasan tentera pimpinan Ariel Sharon Di Shabra dan Syatila.

Sharon mengisytiharkan terdapatnya 2,000 pengganas yang berlindung di kem tersebut dan mengarahkan kereta kebal dan tentera rejim untuk mengepung kem tersebut. Pelarian Palestin yang berlindung di kem tersebut telah digempur habis-habisan dan dibunuh tanpa belas kasihan termasuk orang tua, wanita dan kanak-kanak. Demikianlah antara coretan ringkas kekejaman golongan laknatullah itu. Namun, apa yang mendukacitakan ialah pembunuh yang digelar penyembelih Shabra dan Syatilla ini tidak dikenakan sebarang bentuk tindakan atau hukuman atas apa yang telah dilakukan. Ariel Sharon bukan sahaja kebal daripada sebarang tindakan dan undang-undang tetapi seolah-olah diberi lampu hijau oleh Amerika untuk menghancurkan, menyiat-nyiat dan membakar tubuh-tubuh warga Palestin yang tidak bersalah dan berdosa. Begitu juga perihalnya kekejaman yang dilakukan oleh George W. Bush di Afghanistan dan Iraq.

Beribu-ribu manusia dikorban atas slogan menghapuskan pengganas dan berjuta-juta hilang tempat berteduh akibat daripada kerakusan manusia bernama George W. Bush itu. Manakala penjenayah perang paling dikehendaki di Serbia iaitu Radovan Karadzic kini sudah melingkup dalam tahanan. Ya! Memang benar beliau sudah ditangkap dan menunggu proses perbicaraannya atas semua kejahatan yang dilakukan keatas bangsa Albania, namun nasibnya tentu sekali tidak akan sama dengan apa yang dialami oleh ketiga-tiga pengebom Bali tadi. Inilah yang penulis mahu tekankan, apakah bezanya tindakan dan jenayah yang dilakukan oleh Mukhlas, Amrozi dan Imam Samudra tadi dengan kekejaman yang dilakukan oleh individu-individu yang penulis nyatakan tadi. Demikianlah keadilan dalam dunia ini, sering saja berlaku perlanggaran dalam prinsip keadilan itu sendiri dek kerana kuasa, pengaruh dan pangkat. Bagi penulis, perbuatan yang dilakukan oleh ketiga-tiga pengebom itu tiada bezanya dengan apa yang dilakukan oleh individu yang penulis nyatakan sebentar tadi. Apa yang membezakan mereka ialah, ketiga-tiga pengebom tadi tidak setanding kuasanya, pangkatnya dan pengaruhnya berbanding individu yang telah dinyatakan tadi.

Sebelum penulis tamatkan ketukan jari di papan ini, suka kiranya penulis sunting sedikit perihal komen-komen sahabat di ruangan interaksi anda. Ya! Apa bezanya kita dengan maktab?. Kita juga cikgu sama juga dengan pelajar di maktab?. Mengapa kita seolah-olah didiskriminasikan?. Demikianlah antara coretan serba ringkas daripada komen sahabat sekalian. Menarik untuk dibicarakan bersama, penulis cuba mendapatkan gambaran serba ringkas berkenaan perkara ini daripada teman-teman yang lebih senior. Mengikut katanya, sepatutnya yuran perpustakaan, yuran pengangkutan, yuran makmal komputer dan lain-lain lagi semasa praktikum yang dikenakan keatas mahasiswa tidak patut dilakukan. Hal ini kerana, dalam tempoh praktikum semua mahasiswa yang terlibat berada di sekolah bukannya di kampus.

”kita kat sek, bkn kat kmpus. calon aspirasi dlu pun ggl prjuangkan hal nie. wahai adikku sekalian, sdrlah tntg mslah nie ye. nie blm msk kpli lagi, wlupn mrk skt je, tapi dpt elaun wlupn stdy 1thn je”. ”mktb@ipg dah stndard upsi, mrk buat degree lagi. dapat elaun blnn rm350 plg krg, tak msk hostel, pnggkutn. kite semua settle sndri”. demikianlah kata Rina di ruangan interaksi anda. seterusnya suka kiranya penulis ketengahkan pendapat daripada Daaris, katanya ”sy rasa dah tiba masanya kita pun dapat merasai elaun..apa beza kt dgn maktab? Cikgu SAMA cIKGU.. sy fhm kita di bawah dua kementerian yg berbeza..tapi itu tidak wajar utuk dijadikan alasan utk mendiskriminasikan kt..Ini adalah hal kebajikan. Jgn sampai UPSI dicop zalim dan tidak mempedulikan nasib mahasiswanya.

Walaupun kupasan penulis berkaitan perihal tersebut adalah ringkas, cukuplah kiranya paparan penulis ini dan juga komen daripada teman-teman diruangan tersebut dan boleh dilihat dan diteliti oleh barisan MPP baru. Seandainya luahan dan pendapat yang diutarakan itu mempunyai kerelevanan yang tinggi untuk diperjuangkan, gunakanlah platform anda sebagai wakil mahasiswa untuk membela nasib mahasiswa selaras ucapan YDP anda baru-baru ini iaitu suara mahasiswa tetap menjadi keutamaan dalam perjuangan barisan MPP kali ini. Akhir kata, penulis bawakan dua kisah iaitu:

Amin, anak kepada Menteri Besar dan cucu kepada jutawan minyak sawit terkenal sering ponteng sekolah dan melakukan kegiatan buli kepada rakan-rakannya yang miskin. Manakala Aman pula anak kepada penoreh getah yang berpendapatan sederhana dan mempunyai perangai dan tingkah laku yang sama dengan Amin tadi. Namun, kedua-duanya mempunyai dua situasi yang berbeza. Di sekolah, semua guru mengetahui akan perbuatan buruk yang dilakukan mereka. Namun, sering saja Aman yang dihukum dan dilabelkan penjahat dan samseng oleh guru-guru, sedangkan Amin tidak dikenakan sebarang hukuman dan kutukan atas perbuatannya itu. Hal ini kerana, Amin mempunyai pengaruh akan kekayaan dan kuasa ahli keluarganya manakala Aman tidak punya apa-apa kerana dia merupakan anak seorang penoreh getah yang miskin.

Demikianlah situasi dalam kehidupan kita di dunia ini. dalam kes kedua-dua tadi perbuatan yang dilakukan oleh mereka adalah sama. Tetapi disebabkan pengaruh, kuasa dan kekayaan sering saja tanggapan masyarakat akan berbeza mengikut setiap situasi. Dari segi logiknya, apa bezanya perbuatan mereka itu?....sudah tentu sama sahaja bukan?....namun itulah lumrah dalam kehidupan ini, tiada bezanya perilaku ketiga-tiga pengebom Bali itu dengan penjenayah kemanusiaan lain. Begitu juga tiada bezanya antara mahasiswa yang berada di dalam bidang perguruan ini tidak kira dimana institusi naungannya kerana apa?....kerana kita semua adalah bakal pendidik buat anak bangsa. Apa yang penting, usahalah sedaya mungkin untuk membina diri kita sebagai bakal pendidik terunggul buat anak watan tercinta. Wassalam.

Editor : Janggut Hitam.

0 Komen: